
Iran Tolak Ugutan Trump Beri Tempoh 48 Jam Terima Perjanjian Damai
Markas tentera Iran menolak ancaman yang dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengugut untuk memusnahkan infrastruktur penting negara itu sekiranya perjanjian damai tidak diterima dalam tempoh 48 jam, lapor AFP.
Jeneral Ali Abdollahi Aliabadi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya menyifatkan ancaman berkenaan sebagai tindakan yang menunjukkan lemah, gementar, tidak stabil serta tidak bijak.
Beliau turut membalas kenyataan Donald Trump menerusi hantaran di media sosial dengan memberi amaran bahawa mesej tersebut membawa maksud “pintu neraka akan terbuka buat kamu (AS)”.
"Masa semakin suntuk," Trump beri Iran 48 jam untuk buat perjanjian
Sebelum ini, SK melaporkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata pada Sabtu bahawa Tehran mempunyai masa selama 48 jam lagi untuk mencapai persetujuan atau berdepan 'neraka', lapor AFP.
Ancaman terbaharu Trump itu muncul selepas satu serangan berhampiran loji tenaga nuklear Iran mencetuskan pemindahan penduduk.
"Masih ingat ketika saya beri Iran tempoh 10 hari untuk buat perjanjian atau buka semula Selat Hormuz, masa semakin suntuk, 48 jam sebelum ‘neraka’ akan melanda mereka” tulis Trump di Truth Social, merujuk kepada ultimatum yang dikeluarkan pada 26 Mac.

Sementara itu, Tehran berkata pada Jumaat bahawa mereka telah menembak jatuh sebuah pesawat pejuang F-15 dan media AS melaporkan pasukan khas Amerika Syarikat telah menyelamatkan seorang daripada dua kru, manakala seorang lagi masih hilang.
Tentera Iran juga mendakwa telah menembak jatuh pesawat serangan darat A-10 milik AS di Teluk.
Serangan AS-Israel pada Sabtu pula terkena hab petrokimia, kilang simen dan terminal perdagangan di sempadan Iran-Iraq, dengan seorang dilaporkan terbunuh.
Iran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta sekutu AS di Teluk.
Serangan dari semua pihak kini semakin menyasarkan lokasi ekonomi dan industri, meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.
Baca juga: