IRDA, PwC: Petani kecil berpeluang guna AI dan dron tanpa perlu modal besar menerusi JS-SEZ

LocalTechnology
27 Oct 2026 • 12:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IRDA, PwC: Petani kecil berpeluang guna AI dan dron tanpa perlu modal besar menerusi JS-SEZ Image from: IRDA, PwC: Petani kecil berpeluang guna AI dan dron tanpa perlu modal besar menerusi JS-SEZ sarah27/10/2026 - 12:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - Petani kecil di Johor berpotensi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), dron dan sistem pertanian pintar tanpa perlu mengeluarkan modal besar untuk membeli peralatan sendiri menerusi model perkhidmatan teknologi yang sedang diteroka di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Pendekatan itu dilihat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan halangan kos penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian Johor, yang merekodkan hasil tertinggi di Malaysia bernilai RM30.15 bilion pada 2023, berdasarkan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan PwC Malaysia berkata, model 'Technology-as-a-Service' membolehkan petani kecil mengakses teknologi canggih sebagai perkhidmatan tanpa perlu menanggung kos modal yang tinggi, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan AI, dron dan pertanian berketepatan tinggi.

 

Pendekatan itu antara perkara utama yang dibincangkan dalam sesi meja bulat Iskandar Malaysia CEO Roundtable (IMCEORT) 2026, yang menghimpunkan pemain industri pertanian, akuakultur, penternakan, inovasi makanan, teknologi digital dan pembiayaan bagi meneroka peluang baharu sektor agromakanan di bawah JS-SEZ.

 

Selain mengurangkan halangan kos teknologi kepada petani kecil, perbincangan turut menekankan keperluan memperkukuh rantaian bekalan makanan rentas sempadan, meningkatkan penggunaan automasi dan Internet Benda (IoT), serta menyediakan akses pembiayaan yang lebih baik kepada petani dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Pengarah Pembangunan Ekonomi IRDA, Rudyanto Azhar berkata, kerjasama antara Johor dan Singapura berpotensi mewujudkan ekosistem agromakanan yang lebih bersepadu dengan menggabungkan keupayaan pengeluaran pertanian Johor serta kekuatan Singapura dalam teknologi, inovasi dan akses pasaran serantau.

 

"Melalui JS-SEZ, kita berpeluang meneroka ekosistem agromakanan yang lebih bersepadu, yang menghubungkan pengeluar dengan teknologi, pelaburan, logistik dan pasaran.

 

"Kerjasama lebih erat dalam bidang ini dapat membantu perniagaan meningkatkan produktiviti dan daya saing, selain menyumbang kepada sistem bekalan makanan serantau yang lebih berdaya tahan," katanya dalam kenyataan.

 

Kurangkan halangan kos teknologi kepada petani kecil

Sementara itu, Rakan Kongsi PwC Malaysia, Thariq Adnan berkata, jaminan bekalan makanan bukan lagi sekadar bergantung kepada jumlah pengeluaran, sebaliknya turut memerlukan sistem pengangkutan, pembiayaan dan pengedaran yang cekap.

 

"Peluang sekarang adalah untuk menterjemahkan kekuatan Johor dan Singapura kepada penyelesaian perniagaan yang praktikal, daripada pertanian lebih pintar dan rantaian bekalan lebih cekap kepada model pembiayaan yang membolehkan inovasi berkembang melangkaui projek perintis," katanya.

 

IRDA berkata, antara cadangan susulan yang dikenal pasti termasuk menilai pembangunan taman industri makanan, kerjasama awam-swasta (PPP), penggunaan model perkhidmatan teknologi untuk petani kecil serta rangka kerja pembiayaan yang lebih mudah diakses, dengan hasil perbincangan akan dirumuskan bagi melengkapkan Pelan Induk JS-SEZ mengenai Jaminan Bekalan Makanan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved