Ireka Corp akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 10 Mac selepas rayuan lanjutan masa ditolak

LocalBusiness & Finance
6 Mar 2026 • 9:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ireka Corp akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 10 Mac selepas rayuan lanjutan masa ditolak image is not available hamden06/03/2026 - 09:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Mac — Syarikat berstatus PN17, Ireka Corporation Berhad akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Malaysia pada 10 Mac ini selepas rayuannya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan penstrukturan semula ditolak oleh pengawal selia bursa tersebut.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Ireka memaklumkan walaupun penyahsenaraian itu berkuat kuasa, syarikat masih boleh meneruskan operasi dan perniagaan seperti biasa serta melaksanakan pelan penstrukturan semula korporatnya.

 

Menurut syarikat itu, prestasi operasi yang berterusan berpotensi memberikan pulangan kepada para pemegang saham walaupun status penyenaraiannya ditamatkan.

 

“Bagaimanapun, para pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Malaysia Securities,” katanya.

 

Ireka turut menegaskan bahawa kepentingan serta hak pemegang saham akan terus dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016 walaupun saham syarikat itu tidak lagi didagangkan di pasaran terbuka.

 

Sebelum ini rayuan Ireka untuk mendapatkan lanjutan masa telah ditolak pada September tahun lalu, yang turut menyebabkan saham syarikat itu digantung dagangan mulai 3 Oktober.

 

Bursa Malaysia telah memberikan lima kali lanjutan tempoh secara berasingan kepada syarikat tersebut.

 

Status PN17 merujuk kepada kategori syarikat tersenarai yang menghadapi masalah kewangan dan perlu mengemukakan pelan penstrukturan semula bagi mengekalkan penyenaraiannya di Bursa Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard