IRGC Dakwa Bedil Armada Kelima AS Di Bahrain, Serangan Balas Terhadap AS-Israel

WorldPolitics
28 Feb 2026 • 9:13 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

LUAR NEGARA – Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Sabtu mengesahkan bahawa mereka telah mensasarkan Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Bahrain sebagai tindakan balas terhadap serangan yang didakwa dilakukan oleh AS dan Israel ke atas Iran.

Menurut laporan AFP, perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan agensi berita Tasnim.

Dalam kenyataan tersebut, IRGC mendakwa peluru berpandu dan dron mereka telah membedil ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain selain beberapa pangkalan tentera Amerika di Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.

Malah, kenyataan itu turut menyebut sasaran lain termasuk pusat ketenteraan dan keselamatan di “wilayah yang diduduki”, merujuk kepada Israel.

Iran Lancar Serangan Ke Arah Israel

Sebelum itu, Iran dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel pada hari sama sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan Israel bersama Amerika Syarikat.

Menurut laporan BBC yang memetik kenyataan tentera Israel, siren kecemasan dibunyikan di beberapa kawasan di seluruh negara susulan pengesanan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.

“Siren telah dibunyikan di beberapa kawasan di seluruh negara susulan pengenalan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah Negara Israel,” menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Situasi terkini menunjukkan ketegangan antara Iran dan Israel terus memuncak dengan penglibatan Amerika Syarikat dilihat semakin ketara, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap potensi konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat. – The Malaysian Update

The post IRGC Dakwa Bedil Armada Kelima AS Di Bahrain, Serangan Balas Terhadap AS-Israel appeared first on The Malaysian Update.