
TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dilaporkan melancarkan peluru berpandu balistik Kheibar yang menyasarkan pejabat Perdana Menteri Israel serta lokasi penginapan Komander Tentera Udara Israel, Tomer Bar, dalam satu serangan yang disifatkan sebagai “tepat dan mengejut”.
Menurut agensi berita rasmi IRGC, Sepah News, serangan itu menggunakan peluru berpandu Kheibar buatan tempatan yang diperkenalkan dan diuji pada Mei 2023.
Peluru berpandu Kheibar dilaporkan mempunyai jarak jangkauan sehingga 2,000 kilometer dan mampu membawa hulu ledak seberat 1,500 kilogram, menjadikannya antara sistem persenjataan strategik utama Iran ketika ini.
Nasib Netanyahu Belum Diketahui
IRGC dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa nasib Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, masih belum dapat dipastikan setakat ini dan maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.
Serangan tersebut dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan udara bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Tehran serta beberapa bandar lain di Iran pada pagi Sabtu.
Dalam serangan itu, media Iran mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terkorban bersama beberapa ahli keluarga beliau, komander kanan tentera serta orang awam.
Gelombang Serangan Balas
Susulan itu, Iran melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan wilayah Israel serta pangkalan tentera AS di sekitar Asia Barat.
Perkembangan terbaharu ini menandakan peningkatan ketara dalam konflik yang semakin meruncing antara Iran dan pakatan AS-Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya perang berskala lebih besar di rantau tersebut. – The Malaysian Update
The post IRGC Lancar Peluru Berpandu Kheibar Sasar Pejabat PM Israel, Nasib Netanyahu Jadi Tanda Tanya appeared first on The Malaysian Update.
