Irham bergelar huffaz al-Quran dalam tempoh hanya dua tahun

30 Apr 2026 • 5:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Irham bergelar huffaz al-Quran dalam tempoh hanya dua tahun
Muhammad Irham (kiri) dan Nur Zahra menerima Anugerah Khas Qurra sempena Program Majlis Graduasi Qurra’ MITS Kali Ke-13 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah Alam di sini pada Khamis.

SHAH ALAM – Dalam tempoh hanya dua tahun, pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) Bagan Lalang, Muhammad Irham Ismail, 17, berjaya bergelar huffaz 30 juzuk al-Quran sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Khas Qurra.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, perjalanan menghafaz al-Quran bermula sejak di sekolah rendah dengan tumpuan awal kepada Juzuk 30 sebelum menyambung hafazan penuh ketika memasuki Tingkatan Satu.

Muhammad Irham yang berasal dari Gombak berkata, sokongan keluarga terutama ibu bapa menjadi pemangkin utama kejayaannya, selain pengaruh abangnya yang turut bergelar huffaz pada usia muda.

“Saya perlu membalas segala jasa mak dan ayah untuk melihat saya menjadi huffaz sama seperti abang yang kini menyambung pengajiannya di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia),” katanya ketika ditemui selepas Program Majlis Graduasi Qurra’ MITS Kali Ke-13 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah Alam di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Muhammad Irham berkata, cabaran paling besar adalah mengekalkan disiplin hafazan terutama ketika rakan sebaya bercuti, namun dia memilih untuk kekal fokus mengulang hafalan.

“Waktu cuti orang lain berehat atau pergi bercuti, tetapi saya memilih untuk istiqamah mengulang hafazan,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Muhammad Irham bercita-cita untuk menceburi bidang kejuruteraan, namun dalam masa sama tidak mahu meninggalkan al-Quran.

“Saya ingin menjadi jurutera, tetapi mahu menyeimbangkan dunia dan akhirat dengan mendalami serta menghayati kitab suci ini,” ujarnya.

Bagi pemenang Anugerah Qurra kategori wanita, Nur Zahra Iman Farid Izanee, 17, disiplin menjadi kunci utama apabila mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya tiga tahun.

Menurut Nur Zahra, tabiat bangun seawal jam 4 pagi setiap hari serta konsisten memulakan ulang hafazan sebelum Subuh menjadi rutin yang banyak membantunya mengekalkan hafazan sehingga berjaya bergelar hafizah.

“Saya tidur awal sebelum jam 11 malam dan bangun jam 4 pagi. Selepas bersiap, saya akan mula mengulang hafazan sehingga masuk waktu Subuh,” katanya.

Pelajar Tingkatan Lima itu berkata, walaupun pernah berdepan tekanan dan rasa ingin berputus asa terutama ketika hampir menamatkan hafazan, disiplin harian yang konsisten membantu dirinya kekal fokus.

“Memang pernah rasa tekanan, tetapi saya cuba kuatkan diri dengan rutin yang sama setiap hari,” jelasnya.

Anak kedua daripada empat beradik itu turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan tidak berbelah bahagi ibu bapa, guru serta rakan-rakan yang menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan hafazannya.

“Saya mula menghafaz al-Quran ketika Tingkatan Satu sebelum berjaya menamatkan keseluruhan 30 juzuk ketika Tingkatan Tiga pada tahun 2024,” tambahnya.

 

 

View Original Article