liza18/05/2026 - 09:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Mei – Iris Group Bhd menjelaskan syarikat itu tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat yang boleh mencetuskan aktiviti dagangan luar biasa (UMA) sehingga menyebabkan harga sahamnya melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penyedia penyelesaian identiti digital itu berkata, pihaknya juga tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang boleh menjelaskan peningkatan mendadak dalam dagangan saham syarikat.
“Lembaga pengarah juga tidak mengetahui sebarang penjelasan lain yang boleh menyebabkan lonjakan harga saham dan aktiviti dagangan luar biasa tersebut.
“Syarikat sentiasa mematuhi keperluan untuk membuat makluman segera seperti yang ditetapkan di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Securities,” katanya dalam makluman tersebut.
Terdahulu, Bursa Malaysia mengemukakan pertanyaan UMA kepada syarikat itu selepas sahamnya melonjak ketara dalam dagangan pada Jumaat.
Saham Iris Group melonjak sehingga 83% kepada 33 sen, iaitu paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun sebelum ditutup pada 27.5 sen pada akhir sesi dagangan Jumaat lalu (15 Mei 2026).
Harga penutup itu mewakili peningkatan sebanyak 52.78% atau 9.5 sen berbanding penutupan sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Saham Iris Group melonjak 83%, Bursa Malaysia minta penjelasan
Kaunter berkenaan juga muncul sebagai saham ketiga paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia dengan sebanyak 70.43 juta saham bertukar tangan sepanjang sesi dagangan.
Pada harga penutup 27.5 sen sesaham, syarikat itu mempunyai nilai pasaran sekitar RM224 juta.
Iris Group sebelum ini dikenali sebagai Iris Corporation Bhd sebelum dijenamakan semula dan memindahkan penyenaraiannya kepada nama baharu pada 7 Januari 2026.
Pada tarikh sama, anak kepada pengerusi eksekutif syarikat, Dr Poh Soon Sim iaitu Datuk Poh Yang Hong dilantik semula sebagai pengarah urusan kumpulan selepas pernah memegang jawatan itu dari Jun 2018 hingga Mac 2021.
Soon Sim, 80, yang memegang jawatan pengerusi eksekutif sejak 30 Ogos 2023 dan pernah menjadi pemegang saham terbesar syarikat melalui Orientalgold Equity Sdn Bhd serta Poh Associates Sdn Bhd, telah mengurangkan pegangan sahamnya tahun ini.
Beliau kini memiliki pegangan langsung sebanyak 0.23% dan pegangan tidak langsung sebanyak 2.464% dalam syarikat itu.
Sementara itu, Yang Hong, 53, meningkatkan pegangan sahamnya kepada 2.305% secara langsung dan 10.582% secara tidak langsung menerusi Orientalgold Equity dan Poh Associates.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM23.9 juta, susut 25.8% berbanding RM32.2 juta setahun sebelumnya akibat penghantaran lebih rendah bagi ePasport dan kad eID untuk beberapa projek utama luar negara. - DagangNews.com
