KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Sri Irmohizam Ibrahim dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Korporat Kumpulan Ranchan Maritime Sdn. Bhd. milik Nova Marine Carriers yang beribu pejabat di Lugano, Switzerland.
Nova Marine Carriers merupakan antara syarikat perkapalan pengangkut simen terbesar di dunia dengan rangkaian operasi global yang menyokong perdagangan dan pembangunan industri merentas pelbagai rantau.
Menurut Irmohizam, pelantikan ini membuka peluang untuk menarik lebih banyak Acara Perniagaan antarabangsa dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab Acara Perniagaan di ASEAN dan antarabangsa.
“Amanah ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh jaringan global.
“Fokus utama saya adalah merancakkan industri pameran dan konvensyen di World Trade Centre Kuala Lumpur sekali gus mengangkat Malaysia sebagai hab industri Acara Perniagaan yang berdaya saing di peringkat ASEAN dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Seiring kepakaran dan pengalaman luas Irmohizam dalam memperkukuh jaringan strategik di peringkat antarabangsa, peranan baharu ini turut dijangka membuka peluang kolaborasi rentas sempadan serta memperkukuh hubungan antara sektor perdagangan, logistik dan pembangunan ekonomi.
Dalam pada itu, dengan penglibatan aktif sebagai Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA), pelantikan ini dilihat memperkukuh peranan WTCKL sebagai platform strategik yang menghubungkan komuniti perniagaan global sekali gus memacu pembangunan sektor pameran dan konvensyen tanah air.
Sementara itu, penglibatan akademik yang aktif serta komitmen Irmohizam terhadap pembelajaran sepanjang hayat turut menjadi antara faktor utama yang menyokong pelantikan ini.
Pendekatan ini membolehkan beliau menggabungkan pengalaman industri dengan ilmu pengetahuan untuk membina kepimpinan mampan dan menyokong perkembangan industri acara di Malaysia dan persada antarabangsa.
Tidak ketinggalan, pelantikan Irmohizam juga membuka peluang kepada projek berskala besar dan inisiatif kolaboratif bersama Nova Marine Carriers.
Langkah ini dijangka memperluas jaringan industri, menarik pelaburan dan peluang kolaboratif antarabangsa serta menyokong pertumbuhan ekonomi melalui sektor acara perniagaan yang berdaya saing di Malaysia.

