Isham Jalil tolak Rumah Bangsa, mahu Zahid minta maaf kepada ahli UMNO dipecat

LocalPolitics
7 Mar 2026 • 11:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Isham Jalil

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menolak ajakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempelawa mana-mana ahli pernah digantung atau dipecat untuk kembali menyertai parti itu dan Rumah Bangsa.

Isham yang dipecat pada 2023 menegaskan bahawa dirinya tidak berminat dengan pelawaan tersebut atas alasan Rumah Bangsa masih dalam kerangka Kerajaan Madani, sekali gus menunjukkan parti itu terus berkait rapat dengan DAP dari segi kerjasama.

Dakwanya, pemimpin-pemimpin UMNO masih takut untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan meninggalkan jawatan masing-masing.

“Saya tidak rasa parti-parti Melayu akan ikut ajakan mereka untuk masuk ke Rumah Bangsa selagi mereka sokong DAP dalam kerajaan, itu tidak masuk akal. 'You can’t have it all nor have the cake and eat it too'.

"Saya lihat UMDAP (UMNO dan DAP) akan kalah teruk dalam pilihan raya dan mereka kini terdesak. Selama ini mereka (UMNO) gadai maruah untuk jawatan bersama DAP, kini mereka perlu bayar kifarah ini.

"UMNO tidak boleh harapkan rakyat untuk percaya mereka lagi dengan mengubah haluan kononnya untuk penyatuan setibanya musim pilihan raya.

"Siapa boleh jamin selepas pilihan raya mereka takkan sokong Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP semula?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli pernah dipecat, digantung keahlian dan individu yang ingin bersama dalam perjuangan parti untuk menyertai UMNO.

Ahmad Zahid selaku Presiden berkata, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan serta perbezaan lalu dimaafkan sepenuhnya bagi membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.

Sehubungan itu, kata beliau, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian berdasarkan perlembagaan parti.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO memberi saranan kepada Ahmad Zahid supaya menurunkan ego dengan meminta maaf kepada ahli parti dipecat dan digantung keahlian secara bersemuka, sekiranya benar-benar ikhlas.

"Bukan suruh orang-orang yang dipecat dan digantung itu pergi menghadap dia apabila dia kini terdesak, kecewa UMNO kehilangan sokongan menjelang pilihan raya, malah ingin menjilat kembali ludah dan meminta nyawa.

"Saya saran Ahmad Zahid pergi jumpa Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Shahril Sufian Hamdan dan lain-lain yang dia pecat, gantung serta hina dulu. Minta maaf sebelum jemput masuk UMNO semula jika mereka mahu.

"Kamu yang pecat dan gantung mereka dahulu, kini kamu perlukan mereka. Oleh itu, kamu perlu rendah diri dan tidak boleh ego," ujarnya.

Isham sekali lagi mengulangi pendirian bahawa tiada keperluan untuk menjemput atau datang bertemunya.

"Saya sudah beberapa kali beritahu yang selagi dia (Ahmad Zahid) bekerjasama dengan DAP, saya tidak akan masuk UMDAP.

"Tak perlulah tanya saya banyak kali kerana jawapannya tetap sama," tegas beliau.