ISK perkenal pembaharuan kurikulum, gabung akademik dan vokasional

LocalFamily & Parenting
15 Apr 2026 • 2:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ISK perkenal pembaharuan kurikulum, gabung akademik dan vokasional
Tunku Azizah menyampaikan sampul raya kepada pelajar pada majlis hari terbuka sambutan hari raya dan taklimat pihak berkepentingan di institusi berkenaan di sini pada Rabu.

KUANTAN - International School of Kuantan (ISK) memperkenalkan pembaharuan kurikulum dengan menggabungkan akademik dan vokasional dalam satu sistem pembelajaran serta menawarkan beberapa laluan kelayakan kepada pelajar.

Pengasas TYMBA Education Group (TYMBA), Airil Razali berkata, perubahan itu dilaksanakan susulan penstrukturan semula program pendidikan di institusi berkenaan dengan sokongan rakan strategik baharu.

Menurutnya, antara perubahan utama ialah pengenalan semula silibus yang merangkumi IGCSE serta program persediaan, menggantikan program diploma lanjutan berasaskan sistem Amerika Syarikat sebelum ini.

“Struktur baharu ini menggabungkan akademik dan vokasional dalam satu ekosistem pembelajaran bagi menyesuaikan dengan keperluan semasa pendidikan dan kemahiran pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis hari terbuka, sambutan Hari Raya dan taklimat pihak berkepentingan di institusi berkenaan di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mencemar duli.

Baginda turut berkenan meluangkan masa beramah mesra serta bergambar bersama pelajar dan kakitangan.

Mengulas lanjut, Airil berkata, pelajar akan mengikuti beberapa komponen kelayakan termasuk vokasional, modul literasi kewangan bersama Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) serta pengukuhan bahasa Inggeris melalui ujian penempatan.

Tambahnya, pelaksanaan itu merupakan sebahagian daripada struktur pembelajaran baharu yang disusun semula mengikut keperluan semasa pendidikan.

“Apabila pelajar menamatkan pengajian, mereka bukan sekadar memiliki satu kelayakan, sebaliknya beberapa laluan kelayakan termasuk akademik, vokasional, kewangan dan bahasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendekatan pembelajaran dilaksanakan secara berkumpulan mengikut tahap keupayaan pelajar, selain bimbingan individu bagi memastikan pemahaman lebih berkesan.

Ujarnya, kaedah itu turut disokong dengan elemen kepimpinan, komunikasi dan pembangunan sahsiah melalui aktiviti pengucapan awam serta pertandingan bahasa.

Dalam perkembangan lain, Airil memaklumkan, seramai 1,000 guru di seluruh negara akan menyertai program latihan bersama ACCA bagi memperkukuh kemahiran dalam bidang perakaunan, perniagaan dan ekonomi.

Menurutnya, program itu dilaksanakan secara berfasa melibatkan guru sekolah rendah dan menengah di beberapa negeri.

"Insya-ALLAH kohort pertama di negeri Pahang akan menduduki peperiksaan bulan ini.

"Setakat ini, pelaksanaan program tersebut sudah melibatkan hampir sembilan negeri lain dan dijangka diselesaikan peserta menjelang November tahun ini," katanya.