
GEORGE TOWN – Umat Islam dibolehkan menikmati makanan yang dimasak atau disediakan oleh penganut Hindu sempena sambutan Deepavali selagi hidangan tersebut memenuhi ketetapan halal, tidak melibatkan unsur ritual keagamaan dan bukan bertujuan untuk turut meraikan perayaan agama berkenaan.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, kepercayaan agama seseorang yang menyediakan makanan bukanlah penentu utama hukum halal atau haram sesuatu hidangan, sebaliknya ia bergantung kepada bahan yang digunakan, sumber makanan serta kaedah penyediaannya mengikut syarak.
Bagaimanapun menurutnya, umat Islam perlu memastikan makanan berkenaan tidak mengandungi bahan yang diharamkan seperti babi, arak atau unsur najis selain disediakan menggunakan peralatan yang bersih dan tidak tercemar.
“Prinsip itu selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.
“Dalam hal ini, hidangan seperti nasi, sayur-sayuran, buah-buahan dan kuih-muih yang disediakan penganut Hindu boleh dinikmati sekiranya bahan serta kaedah penyediaannya menepati hukum syarak.
“Namun, bagi makanan berasaskan daging ayam, lembu atau haiwan darat lain, umat Islam perlu memastikan sumber sembelihannya mematuhi ketetapan Islam. Sembelihan yang dilakukan penganut Hindu tidak memenuhi syarat sembelihan yang diharuskan untuk dimakan umat Islam,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kesangsian dalam kalangan umat Islam apabila menerima jemputan daripada rakan atau kenalan beragama Hindu untuk menghadiri rumah terbuka sempena Deepavali.
Dalam pada itu, katanya, selain aspek pemakanan, umat Islam juga perlu memahami perbezaan antara menerima makanan sebagai hadiah atau tanda persahabatan dengan menyertai atau meraikan perayaan keagamaan penganut Hindu.
“Pemberian makanan halal oleh jiran atau rakan bukan Islam sempena Deepavali boleh diterima sebagai tanda hubungan baik sesama masyarakat tanpa bermaksud seseorang Muslim turut meraikan kepercayaan agama berkenaan.
“Bagaimanapun, sekiranya seseorang Muslim sengaja menikmati makanan atau menghadiri jamuan dengan tujuan untuk turut merayakan, meraikan atau mengagungkan perayaan keagamaan tersebut, maka perbuatan itu tidak dibenarkan oleh syarak.
“Ini kerana terdapat perbezaan antara menerima makanan halal sebagai tanda persahabatan dengan menjadikan jamuan sebagai sebahagian daripada penyertaan dalam perayaan agama lain,” katanya.
Beritahu beliau lagi, umat Islam juga perlu mengelakkan penglibatan dalam ritual keagamaan termasuk upacara pemujaan, persembahan kepada dewa atau berhala serta amalan yang boleh menjejaskan akidah.
“Ini kerana keharusan sesuatu makanan dari sudut bahan dan penyediaannya tidak bermaksud semua bentuk penglibatan dalam majlis keagamaan bukan Islam turut dibenarkan,” ujarnya.
Tambahnya, Islam juga tidak melarang umatnya berbuat baik kepada masyarakat bukan Islam yang hidup secara aman, malah menggalakkan hubungan kemasyarakatan berasaskan sikap saling menghormati dan berlaku adil.
“Islam mengajar umatnya menghormati penganut agama lain dan memelihara hubungan baik sesama masyarakat, namun penghormatan tersebut tidak bermaksud umat Islam boleh turut meraikan atau menyertai syiar keagamaan mereka,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Islam boleh makan hidangan dimasak penganut Hindu, asalkan halal – Mufti appeared first on Kosmo Online.






