
Jumlah umat Islam di dunia dijangka mengatasi jumlah penganut agama Kristian menjelang 2035.
Unjuran tersebut terkandung dalam laporan terbaharu yang diterbitkan oleh Pew Research Center.
Namun, menurut pusat penyelidikan itu, walaupun Islam mengalami pertumbuhan populasi yang pesat, ia tidak akan memperlahankan peningkatan populasi penganut Kristian.
"Kedua-dua kumpulan agama itu dijangka mencatatkan peningkatan jumlah penganut dalam beberapa dekad akan datang.
"Bagaimanapun, populasi umat Islam berkembang pada kadar yang lebih pantas berbanding penganut agama Kristian," kata kajian itu.
Pertumbuhan populasi kedua-dua kumpulan agama berkenaan dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kadar kesuburan, perbezaan jumlah kelahiran dan kematian serta pertukaran agama.
Pusat penyelidikan itu berkata umat Islam berkembang lebih pantas berbanding semua kumpulan agama utama lain kerana mempunyai kadar kelahiran anak yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, penganut agama Kristian yang mencatatkan kadar kesuburan kedua tertinggi dijangka berkembang seiring dengan pertumbuhan keseluruhan penduduk dunia.
Islam agama terbesar

"Dalam tempoh 2020 hingga 2025, jumlah kadar kesuburan wanita Islam adalah sebanyak 3.1 anak bagi setiap wanita, manakala wanita Kristian pula mencatatkan kadar 2.5 anak bagi setiap wanita.
"Bagi semua wanita lain secara keseluruhan, purata kadar kesuburan adalah sebanyak 1.6 anak bagi setiap wanita.
"Lazimnya, sesebuah generasi dapat menggantikan generasi sebelumnya dengan kadar kesuburan sekitar 2.1 anak bagi setiap wanita," ujarnya.
Sementara itu, kedua-dua kumpulan agama Islam dan Kristian dijangka memperoleh lebih ramai penganut menerusi kelahiran berbanding kehilangan penganut akibat kematian.
Pakar demografi merujuk perbezaan antara jumlah kelahiran dan kematian ini sebagai 'perubahan semula jadi populasi'.
Antara 2020 hingga 2070, populasi umat Islam diunjurkan meningkat sebanyak 1.6 bilion orang menerusi perubahan semula jadi populasi, berbanding peningkatan sebanyak 792 juta orang bagi penganut agama Kristian.
Seperti yang dinyatakan, pertukaran agama turut mempengaruhi kadar pertumbuhan relatif populasi umat Islam dan penganut agama Kristian, namun kesannya lebih kecil berbanding perubahan semula jadi populasi.
"Dalam beberapa dekad akan datang, sesetengah individu yang dibesarkan sebagai seorang Islam atau Kristian akan menukar agama atau meninggalkan agama sepenuhnya.
"Pada masa sama, terdapat juga individu yang mula menganut agama Islam atau Kristian walaupun tidak dibesarkan dalam agama berkenaan.
"Berdasarkan trend terdahulu, umat Islam dijangka mencatatkan kehilangan penganut yang jauh lebih kecil berbanding penganut agama Kristian akibat pertukaran agama," menurut kajian itu.
Menurutnya, perbezaan antara jumlah individu yang memeluk dan meninggalkan agama Islam dijangka mengakibatkan pengurangan bersih sebanyak lapan juta orang sepanjang tempoh unjuran berkenaan.
Bagi agama Kristian pula, pengurangan bersih itu diunjurkan sebanyak 105 juta orang.
Bagaimanapun, pertukaran agama antara Islam dan Kristian diunjurkan hampir seimbang, dengan 9.2 juta umat Islam dijangka memeluk agama Kristian, manakala sembilan juta penganut Kristian dijangka memeluk Islam.
Populasi mengikut negara
Antara 2020 hingga 2070, sebahagian besar pertumbuhan populasi umat Islam di dunia diunjurkan berlaku di negara-negara yang sememangnya mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.
Pada 2020, umat Islam merupakan kumpulan agama majoriti di 53 negara.
Menjelang 2070, jumlah umat Islam di negara-negara berkenaan dijangka meningkat sebanyak 1.2 bilion orang, mewakili 74 peratus daripada keseluruhan unjuran pertumbuhan populasi umat Islam di dunia.
Sebagai contoh, populasi umat Islam di Pakistan dijangka meningkat kira-kira dua kali ganda daripada 227 juta orang pada 2020 kepada 461 juta orang pada 2070.
Negara itu dijangka beralih daripada kedudukan kedua kepada negara yang mempunyai populasi umat Islam terbesar di dunia.
Pertumbuhan populasi penganut agama Kristian juga akan tertumpu di beberapa daripada 120 negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Kristian pada 2020.

Secara keseluruhan, populasi penganut agama Kristian di negara-negara berkenaan dijangka meningkat sebanyak 630 juta orang, mewakili 92 peratus daripada pertumbuhan populasi Kristian di seluruh dunia.
Sebagai contoh, di Republik Demokratik Congo, populasi penganut agama Kristian dijangka meningkat lebih tiga kali ganda daripada 92 juta orang pada 2020 kepada 299 juta orang pada 2070.
Baca juga:
Sultan Selangor Ingatkan Orang Bukan Islam Tidak Campuri Hal Berkaitan Agama Islam
Individu Islam Tidak Boleh Jadi Pihak Pertikaian Perkahwinan Bukan Islam – Mahkamah Persekutuan
Bagaimanapun, dalam kalangan negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Kristian, terdapat beberapa negara yang dijangka mengalami penurunan jumlah penganut agama berkenaan menjelang 2070.
Keadaan ini secara umumnya disebabkan oleh gabungan faktor individu yang meninggalkan agama Kristian serta jumlah kematian yang melebihi kelahiran di negara-negara dengan populasi penganut Kristian yang lebih berusia.
Amerika Syarikat yang mempunyai populasi penganut agama Kristian terbesar di dunia pada 2020 dijangka mencatatkan penurunan jumlah penganut paling besar, iaitu daripada 217 juta orang pada 2020 kepada 174 juta orang pada 2070.


