
KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan yang mewakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memfailkan permohonan bagi mencabar pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya iaitu jongkong emas dan beberapa mata wang asing.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Bera itu selepas sebutan semula kes di hadapan Suzana Hussin, hari ini.
Menurut peguam itu, pihaknya akan mengemukakan permohonan tersebut bersandarkan kepada beberapa isu perundangan selepas meneliti dokumen yang diperolehi daripada pihak pendakwaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pembelaan, hari ini.
Menurutnya, sebanyak lima jilid dokumen di bawah Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, diserahkan antaranya termasuk dokuman sitaan dan beberapa dokuman harta (diisytiharkan) yang dimiliki Ismail Sabri.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Suzana kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Disember ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 10 Januari 2025 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 7 Februari 2025.
Antara harta-harta itu ialah lima jongkong emas, sekeping perak serta sekeping syiling emas. Selain itu ialah wang tunai RM14.7 juta dan beberapa mata wang asing iaitu membabitkan SGD 6.1 juta, AS$1.5 juta, CHF3 juta, €12.16 juta , ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, AED34.7 juta dan AUD$352,850.
Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – KOSMO! ONLINE
The post Ismail Sabri akan kemuka permohonan cabar pertuduhan appeared first on Kosmo Online.



