Ismail Sabri berdepan cabaran besar sebagai PM: Annuar

Politics
23 Jun 2022 • 9:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berdepan dengan pelbagai situasi mencabar dalam menguruskan negara dan ia tidak pernah dilalui oleh perdana menteri sebelum ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya sepanjang pentadbiran Ismail Sabri, Perdana Menteri itu terpaksa mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik Covid-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).

"Perkara-perkara ini meletakkan PM Datuk Seri Ismail Sabri dari UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain. Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang diendors oleh UMNO dan mewakili parti UMNO," katanya dalam sidang media, pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Annuar berkata walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu.

"Dia (Nur Jazlan) bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu... dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia.

"Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan Covid-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas," kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan perdana menteri. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved