Ismail Sabri sebagai 'Poster Boy' BN Ketentuan Parti - Hishammuddin

Politics
7 Nov 2022 • 8:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hishammuddin Tun Hussein bersama calon BN bagi Parlimen Pagoh, Datuk Seri Razali Ibrahim (dua dari kanan) beramah mesra bersama masyarakat Tiong Hwa ketika hadir pada Program Jelajah Undi BN Johor di Parlimen Pagoh di Dewan Serbaguna JKKK Kampung Baru Grisek, hari ini. - Gambar Bernama

TANGKAK - Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pendirian UMNO mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai “poster boy” Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum-Ke-15 (PRU-15) telah ditentukan lebih awal oleh parti.

 Justeru, Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata untuk merealisasikan hasrat BN berkenaan parti perlu memenangi PRU-15.

 "...daripada dahulu lagi parti telah menentukan dan telahpun buat pendirian bahawa beliau ‘poster boy’ kita...yang penting nak jadi Perdana Menteri kena menangkan parti dahulu," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Undi BN Johor di Parlimen Pagoh di Kampung Baru Grisek di sini hari ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengulangi keputusan bahawa Ismail Sabri akan kekal sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi PRU-15.

Ahmad Zahid berkata walaupun Ismail Sabri tidak memegang jawatan paling tinggi parti, itu bukan isu yang perlu diperbesarkan.

Mengulas laporan media mengenai dakwaan Rafizi kononnya Pakatan Harapan berpotensi memenangi 13 hingga 15 kerusi parlimen di Johor pada PRU-15 ini, Hishammuddin berkata rakyat yang akan menentukan keputusan itu ketika hari pengundian PRU-15 pada 19 November ini. - Bernama