Ismail Sabri tiba di Ankara, teruskan lawatan rasmi ke Turkiye

6 Jul 2022 • 5:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

Pesawat khas yang membawa Ismail Sabri dan delegasinya dari Istanbul selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga Ankara pada 11.10 pagi (4 petang waktu Malaysia).

Beliau disambut oleh Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar sebelum memeriksa barisan kawalan kehormat.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Timbalan Gabenor Ankara, Berkay Govcinar.

Perdana Menteri tiba di Turkiye pada Selasa dan beliau telah mengadakan lawatan ke lapangan terbang yang dimiliki serta dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul selain bertemu wakil syarikat berkaitan kerajaan dan firma swasta republik itu.

Ismail Sabri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan dua universiti Turkiye iaitu Universiti Teknikal Karadeniz (KTU) dan Universiti Karabuk (UNIKA) selain Dokumen Persefahaman antara Boustead Holdings Berhad dengan Great East Capital Bigli Teknologi Yatirimlari (GEC).

Pada Rabu, Perdana Menteri akan melawat dua pemain utama republik itu dalam bidang pertahanan serta aeroangkasa iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI).

Pada Khamis pula, Ismail Sabri dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara yang disusuli mesyuarat delegasi Malaysia-Turkiye. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved