Ismail Sabri ucap tahniah kepada PM baharu UK

Politics
25 Oct 2022 • 9:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Rishi Sunak, di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu.

Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook hari ini, melahirkan keyakinan dengan dedikasi dan kepimpinan Sunak, selain berharap agar dapat bekerjasama rapat dengan rakan sejawatnya itu untuk meraih potensi hubungan Malaysia dan UK.

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama (Sunak) untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara. Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh,” katanya.

Ismail Sabri turut mendoakan agar Sunak diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan, dan rakyat UK akan terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Menurut perdana menteri beliau amat berbesar hati dengan pencapaian yang telah dikecapi setakat ini, dalam meniti hubungan erat kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 65 tahun yang lalu.

Beliau berkata hubungan Malaysia dan UK yang akrab, sejarah dan aspirasi bersama sememangnya telah membawa manfaat yang amat besar, kepada rakyat kedua-dua negara.

Terdahulu Bernama melaporkan Sunak, 42, bekas Ahli Kabinet Boris Johnson ialah Perdana Menteri ketiga Britain dalam tempoh tujuh minggu, serta orang bukan kulit putih pertama memegang jawatan tertinggi. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved