SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, mengambil langkah menarik balik bantahan yang pernah dikemukakannya berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu langkah penting ke arah meredakan kemelut berkaitan institusi diraja yang berlarutan di negeri berkenaan.
Menerusi surat bertarikh 10 November lalu, Ismail memaklumkan keputusan untuk menarik balik pendirian yang dinyatakan dalam suratnya pada 17 September lalu.
Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kenyataan Majlis Raja-Raja pada 14 Oktober serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun lalu.

Difahamkan, Ismail telah menyerahkan sendiri surat berkenaan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, dalam pertemuan mereka awal minggu ini.
Dalam surat itu, beliau menjelaskan bahawa langkah berkenaan berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain bertujuan memelihara kedaulatan institusi beraja dan memastikan kelangsungan pentadbiran negeri tidak terjejas.
Susulan perkembangan itu, Ismail dijangka menghadap Tuanku Muhriz bagi mempersembahkan taat setia kepada baginda, selain memohon perkenan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diadakan semula.
Persidangan DUN yang sepatutnya berlangsung pada pertengahan Oktober lalu terpaksa ditangguhkan sebelum tarikh baharu ditetapkan pada 26 November ini.
Ismail sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa kemelut membabitkan istana itu mampu menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat.
Beliau turut mengesahkan isu berkenaan telah dibawa ke perbincangan di peringkat kepimpinan UMNO negeri dan pusat, namun memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenainya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut berharap semua pihak yang terlibat dapat mencari jalan penyelesaian menerusi semangat kerjasama, seperti yang ditunjukkan ketika pembentukan kerajaan negeri sebelum ini. - Getaran, 14 November 2026





