
GAZA: GAZA: Jet pejuang Israel menyerang sebuah gudang perubatan berhampiran hospital di tengah Gaza pada awal Sabtu, memusnahkan kemudahan itu serta menyebabkan kerosakan besar terhadap khemah berdekatan yang menempatkan penduduk Palestin.
Saksi memberitahu Anadolu, tentera Israel menyasarkan gudang bersebelahan Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir al-Balah, memusnahkan bekalan perubatan penting di dalamnya, selain membakar puluhan khemah berdekatan.
Serangan itu mencetuskan ketakutan dan panik dalam kalangan pesakit, penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta penduduk setempat di sekitar hospital, kata saksi.
Tiada laporan segera mengenai kematian atau kecederaan.
Menurut saksi, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan dari kawasan berkenaan hanya beberapa minit sebelum serangan dilancarkan.
Serangan berlaku ketika sektor kesihatan Gaza terus berdepan sekatan Israel serta kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang serius.
Sekatan ketat terhadap kemasukan bekalan berkenaan turut menjejaskan keupayaan hospital memenuhi keperluan pesakit dan mangsa yang cedera.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada awal Jumaat mengumumkan persetujuan dicapai bagi pelucutan senjata sepenuhnya Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza, dengan tentera Israel dijadualkan berundur secara berperingkat apabila proses berkenaan berlangsung.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober lalu, Israel terus melancarkan serangan setiap hari di seluruh Gaza, mengorbankan 1,209 rakyat Palestin dan mencederakan 3,943 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran.
Dengan sokongan AS, Israel melancarkan serangan di Gaza pada 8 Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah berkenaan.
The post Israel bedil gudang perubatan hospital Gaza appeared first on Utusan Malaysia.





