
BAITULMAQDIS – Sebuah laporan mendedahkan Israel dipercayai telah mewujudkan kem tentera rahsia di kawasan gurun Iraq sebagai persediaan dan sokongan kepada operasi ketenteraan terhadap Iran.
Laporan diterbitkan The Wall Street Journal (WSJ) itu memetik beberapa sumber termasuk pegawai Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kem berkenaan digunakan sebagai pusat sokongan operasi udara Israel.
Difahamkan, lokasi sulit tersebut bukan sahaja menempatkan anggota pasukan khas, malah berfungsi sebagai pusat logistik serta bantuan kecemasan sekiranya berlaku insiden membabitkan pesawat pejuang Israel.
Aktiviti Mencurigakan Hampir Bongkar Lokasi
Antara kemudahan yang disediakan termasuk unit mencari dan menyelamat untuk membantu juruterbang yang mungkin terhempas atau ditembak jatuh ketika operasi dijalankan.
Menurut sumber laporan, kem itu dibina lebih awal dengan pengetahuan pihak AS sebelum ketegangan antara Israel dan Iran semakin memuncak.
Kewujudan fasiliti tersebut bagaimanapun hampir terbongkar selepas seorang penggembala tempatan dilaporkan terlihat aktiviti mencurigakan termasuk penerbangan helikopter di kawasan terpencil itu pada awal Mac lalu.
Tentera Iraq kemudian dikatakan digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan, namun usaha tersebut dipercayai terganggu susulan serangan udara yang didakwa dilakukan Israel bagi mengelakkan kawasan itu dikesan.
Iraq Buat Aduan Kepada PBB
Pada penghujung Mac, Iraq turut mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung serangan udara melibatkan “kuasa asing”, yang pada peringkat awal dipercayai mempunyai kaitan dengan AS.
Setakat ini, tiada pengesahan bebas dapat dibuat berhubung dakwaan kewujudan kem tentera rahsia berkenaan. – The Malaysian Update
The post Israel Didakwa Bina Pangkalan Tentera Rahsia Di Iraq Untuk Sokong Operasi Terhadap Iran appeared first on The Malaysian Update.




