Israel gesa rakyat tutup CCTV rumah, takut digodam Iran

WorldPolitics
23 Jun 2025 • 10:21 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

• Israel arah rakyat tutup CCTV rumah selepas serangan ke atas Iran
• Iran didakwa cuba akses kamera untuk kesan lokasi dan impak serangan
• Tindakan Israel cetus ironi, kerana sebelum ini mereka sendiri gunakan CCTV rakyat untuk intipan

Selepas melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Iran, kerajaan Israel kini menggesa rakyatnya supaya segera menutup atau mengemaskini sistem kamera litar tertutup (CCTV) di rumah. Arahan luar biasa ini dikeluarkan selepas muncul dakwaan penggodam dari Iran sedang cuba mengakses CCTV peribadi rakyat bagi mendapatkan maklumat lokasi sebenar serangan.

Menurut Refael Franco, bekas Timbalan Ketua Agensi Siber Israel, “Kami tahu tentang perkara ini dalam dua atau tiga hari lalu, pihak Iran cuba sambung ke kamera CCTV untuk mengetahui apa yang berlaku dan di mana peluru berpandu mereka mendarat, bagi meningkatkan ketepatan serangan.”

Franco yang kini mengetuai firma keselamatan siber Code Blue, menjelaskan sistem CCTV yang masih menggunakan kata laluan lalai atau tiada ciri keselamatan tambahan sangat mudah digodam. Namun persoalannya, mengapa isu ini baru dianggap penting sekarang?

CCTV rakyat pernah jadi alat intipan Israel?

Israel mendakwa CCTV di kediaman rakyatnya kini menjadi sasaran penggodam Iran yang cuba mengesan lokasi serangan dan pergerakan tentera. Namun hakikatnya, Israel sendiri pernah menggunakan kaedah sama untuk menjejaki rakyat Palestin, termasuk mengakses rakaman daripada CCTV peribadi secara sistematik.

Laporan pada tahun 2022 pula mendedahkan, sebanyak 66,000 CCTV di Israel masih menggunakan kata laluan lalai yang mudah digodam. Satu angka yang cukup memalukan bagi negara yang sering berbangga sebagai kuasa teknologi siber.

Kenyataan itu bukan sahaja mencerminkan risiko pengguna, tetapi juga menggambarkan ironi yang sedang dihadapi Israel yang sebelum ini memanfaatkan sistem kamera rakyat untuk kepentingannya sendiri, kini bimbang maklumat itu kembali memakan diri.

Sumber: Tech Spot