Israel ingkar perjanjian tajaan AS, masih serang selatan Lubnan

WorldPolitics
13 Oct 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Israel ingkar perjanjian tajaan AS, masih serang selatan Lubnan

BEIRUT: Tentera Israel meneruskan serangan udara dan bedilan artileri di beberapa bandar di selatan Lubnan kelmarin, sekali gus melanggar perjanjian rangka kerja tajaan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada Jun lalu.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan, pesawat perang Israel mengebom bandar Kfar Tebnit di daerah Nabatieh.

Sementara itu, di daerah Tyre, serangan udara Israel turut menyasarkan bandar Mansouri, manakala bandar Majdal Zoun dibedil menggunakan artileri.

Pada malam sebelumnya, kawasan antara bandar Mayfadoun dan Zawtar al-Sharqiyah turut dibedil hebat secara bertalu-talu oleh tentera Israel.

Dua lelaki terbunuh di selatan Lubnan pada Ahad. Masing-masing terbunuh akibat tembakan Israel dan kerana letupan sisa bahan letupan perang, , menurut media kerajaan dan pegawai tempatan.

Selatan Lubnan menjadi me­dan dua peperangan antara Israel dengan Hizbullah yang disokong Iran sejak 2023, manakala tentera Israel masih menduduki kawasan sepanjang sempadan selebar 10 kilometer.

Menurut laporan NNA, seorang daripada lelaki itu terbunuh di Yater, daerah Bint Jbeil, apabila bedilan Israel menyasarkan pinggir bandar itu ketika beliau memeriksa tanah dan hasil tuaian buah zaitunnya.

Serangan itu berlaku ketika Israel meneruskan operasi ketenteraannya di Lubnan yang bermula pada 2 Mac lalu. Dalam serangan itu, seramai 4,386 orang terbunuh dan mencede­rakan 12,413 yang lain, menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Lubnan.

Beirut dan Tel Aviv pada 26 Jun lalu menandatangani perjanjian rangka kerja yang dirundingkan AS di Washington, yang memperuntukkan pe­ngunduran tentera Israel secara berperingkat dari wilayah Lubnan dan penempatan tentera negara tersebut  di kawasan yang ditinggalkan pasukan Israel.

Bagaimanapun, tentera Israel terus melancarkan serangan meskipun perjanjian itu dimeterai, selain mengekalkan pendudukan di beberapa kawasan Lubnan, termasuk wilayah yang dikuasainya sejak beberapa dekad lalu dan kawasan yang dirampas dalam peperangan serta operasi ketenteraan baru-baru ini. – AGENSI

The post Israel ingkar perjanjian tajaan AS, masih serang selatan Lubnan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved