
Badan amal perubatan antarabangsa Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mendedahkan bahawa tindakan ketenteraan dan sekatan berterusan oleh pihak Israel telah melumpuhkan sistem kesihatan di Semenanjung Gaza dengan teruk.
Presiden MSF, Javid Abdelmoneim, memaklumkan bahawa pihak Israel telah membatalkan permit perkhidmatan MSF serta menyekat kemasukan bekalan perubatan asas—termasuk kerusi roda, tongkat, dan mesin imbasan ultrasound—atas alasan kononnya peralatan tersebut boleh digunakan bagi tujuan ketenteraan. Pembatalan permit operasi yang turut menjejaskan lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain ini memburukkan lagi krisis kekurangan kakitangan antarabangsa serta pemotongan perkhidmatan kesihatan di Gaza mahupun Tebing Barat.
Beliau turut mendedahkan bahawa petugas perubatan terus menjadi sasaran pembunuhan, penahanan, dan penyiksaan oleh tentera Israel, termasuk seorang pakar bedah MSF yang kini ditahan selama lebih setahun tanpa sebarang pertuduhan. Keadaan hidup rakyat Palestin juga semakin meruncing berikutan krisis kekurangan air bersih dan penularan pencemaran kumbahan.
Abdelmoneim menggariskan bahawa pelanggaran yang berterusan ini membuktikan ketidakberkesanan perjanjian gencatan senjata di Gaza, sambil mendesak masyarakat antarabangsa mengambil tindakan konkrit bagi memelihara undang-undang antarabangsa.
Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)






