Israel ‘mengganas’ selatan Syria selepas kejatuhan Bashar

WorldPolitics
10 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Israel ‘mengganas’ selatan Syria selepas kejatuhan Bashar

ANKARA: Selepas kejatuhan Pre­si­den Syria, Bashar Al-Assad pada Disember 2024, Israel menghantar tenteranya ke zon penampan dipantau oleh Pertubuhan Bangsa-Bengsa (PBB) yang sebelum ini memisahkan askar rejim Zionis dengan tentera Syria di kawasan Bukit Golan.

Israel menawan sebahagian besar kawasan Bukit Golan dari Syria dalam Perang Arab-Israel 1967 dan kemudian merampas secara paksa kawasan yang dikuasainya, satu tindakan yang tidak diiktiraf oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun, selepas rejim Bashar jatuh kepada ‘ta­ngan’ kumpulan pejuang Islam diketuai Ahmed al-Sharaa yang kini menjadi presiden selepas Syria mengalami perang saudara sejak 2011 akibat perang prodemokrasi cetusan Arab Spring, Israel semakin berani melanggar Perjanjian 1974.

Perjanjian itu dikenali dengan nama Perjanjian Pemisahan Tentera Israel-Syria 1974 bertujuan untuk menghentikan pertempuran dan memisahkan kedudukan tentera kedua-dua pihak selepas Perang Yom Kippur 1973 serta mewjudkan zon penampan yang dikawal oleh PBB.

Namun, Israel melanggar perjanjian itru dengan berulang kali apabila melancarkan serangan ke selatan Israel dengan yang terbaharu pada hujung bulan lalu. Dalam serangan itu, Israel melakukan pencerobohan ke kampung Maariya dan Al-Aarda di kawasan Lembangan Yarmuk, barat wilayah Daraa.

Menurut laporan itu, anggota tentera Israel yang disertai tiga kenderaan tentera dan sebuah jentolak mendirikan sekatan jalan di Al-Aarda.

Tentera Israel turut menggugurkan risalah di beberapa bandar di Lembangan Yarmuk yang memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menutup jalan atau menghalang pergerakan kenderaan tentera.

Pegawai Israel berkata, me­­reka berhasrat untuk me­ngekalkan pasukan tentera di sebuah zon keselamatan di selatan Syria dan pada masa yang sama mahu mewujudkan zon demilitarisasi yang lebih luas di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Turkiye dan Syria mengecam keras tindakan Israel itu sekali gus menyifatkannya sebagai ancaman terbesar terhadap kedaulatan serta kestabilan rantau berkenaan.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menegaskan perkara itu dalam satu sidang media bersama Menteri Luar Syria, Asaad al-Shibani di Ankara minggu lalu.

Fidan mendedahkan bahawa pencerobohan Israel di bawah pimpinan Perdana Menteri, Ben­jamin Netanyahu yang me­nyasarkan wilayah Syria bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah berisiko mencetuskan pergolakan lebih parah di Asia Barat.

“Serangan Israel yang me­nyasarkan kedaulatan dan integriti wilayah Syria merupakan antara ancaman terbesar kepada kestabilan negara ini,” kata Fidan kepada pemberita.

Beliau turut menyeru ma­sya­rakat antarabangsa supaya mengenakan tekanan lebih padu ke atas rejim Israel agar kembali mematuhi sepenuhnya mekanisme pencegahan konflik yang dimeterai pada tahun 1974 itu.

Israel, yang menduduki wi­layah Bukit Golan milik Syria sejak puluhan tahun lalu kini didakwa cuba meluaskan pengaruh dan penguasaan ketenteraannya ke wilayah Suweyda.

Sementara itu, Asaad al-Shi­bani turut membidas tindakan agresif berterusan rejim Zionis yang secara terang-terangan mengganggu gugat keselamatan negaranya.

Mengulas mengenai situasi semasa, Fidan menyatakan bahawa Syria kini mula mencapai kestabilan politik dalaman pasca-kejatuhan rejim Bashar dan mula bertindak sebagai elemen penting dalam mengukuhkan keamanan serantau.

Sehubungan itu, beliau me­nggesa negara-negara jiran supaya memelihara keselamatan Syria secara bersama. 

 

The post Israel ‘mengganas’ selatan Syria selepas kejatuhan Bashar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved