Genosid di Palestin telah berlangsung hampir enam bulan dan setakat ini dipercayai hampir 40,000 individu telah terbunuh. Setiap hari ada sahaja laporan orang awam menjadi mangsa pengeboman yang dilakukan tentera Israel (IDF) dengan rejim Zionis menggunakan pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan mereka.
Hari ini muncul laporan daripada +972 Magazine dan Local Call yang mengesahkan IDF menggunakan kecerdasan buatan (AI) baharu yang mengenalpasti lebih 37,000 sasaran yang dilabelkan sebagai berbahaya.

Lavender ialah AI yang dibangunkan oleh Unit 8200 yang merupakan unit risikan elit IDF. Ia mengklasifikasikan ribuan sasaran mengikut tahap kepentingan perlu dihapuskan dan berapakah jumlah kematian orang awam yang dibenarkan. Untuk sasaran berkepentingan rendah, sehingga 10 orang awam dikorbankan. Sementara itu untuk sasaran lebih penting pula, sehingga 100 orang awam dikorbankan.
Dengan pengelasan yang diberikan, IDF kemudiannya akan memilih jenis senjata yang akan digunakan. Bom graviti digunakan pada sasaran berkepentingan rendah, sementara bom pintar yang lebih mahal untuk sasaran berkepentingan tinggi. Lavender digunakan bersama dengan AI The Gospel yang digunakan untuk mencari bangunan yang perlu dimusnahkan kerana dipercayai digunakan oleh musuh Israel.
Laporan +972 Magazine dan Local Call mengambil pengakuan daripada enam ahli risikan yang terlibat dalam serangan yang dilakukan sejak konflik bermula 7 Oktober lalu. Mereka mendedahkan terdapat tekanan daripada pihak atasan untuk sentiasa mencari sebanyak mungkin individu yang perlu dihapuskan untuk melumpuhkan Hamas dan Palestinian Islamic Jihad (PIJ). Mereka juga menghabiskan sekitar hanya 20 saat sahaja untuk meluluskan serangan ke atas sasaran yang dipilih oleh Lavender.

Penggunaan AI dalam medan perang hanya sedekad yang lalu dianggap tidak bermoral dan menghampiri sistem SKYNET yang membunuh semua manusia dalam siri Terminator. Tetapi kini ia dianggap normal, dibangunkan oleh pelbagai kuasa dunia bagi memberikan kelebihan di medan perang.


