Israel simpan 1,700 jenazah Palestin sebagai alat tawar-menawar

WorldPolitics
12 Aug 2026 • 8:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Israel simpan 1,700 jenazah Palestin sebagai alat tawar-menawar

BAITULMUQADDIS: Israel menyimpan jasad kira-kira 1,700 rakyat Palestin sebagai alat tawar-menawar walaupun tiada tebusan Israel kini ditahan kumpulan pejuang Palestin, lapor akhbar Israel, Haaretz.

Menurut laporan itu, Ketua Shin Bet, David Zini, menggesa Israel menyimpan jasad berkenaan untuk digunakan dalam rundingan pembebasan tebusan pada masa depan, pendirian yang turut disokong tentera Israel.

Haaretz melaporkan, kebanyakan jasad berkenaan adalah milik pejuang Palestin yang terbabit dalam serangan diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023, selain turut melibatkan orang awam Palestin dan 13 warga Israel.

Sumber perundangan yang dipetik Haaretz mendakwa Israel tidak mempunyai kuasa untuk menahan jasad rakyat Palestin bukan pejuang kerana keputusan itu tidak disokong dasar Kabinet Keselamatan.

Pada Julai, akhbar Israel itu melaporkan pihak berkuasa mengakui dalam respons terhadap petisyen di Mahkamah Tinggi Keadilan bahawa mereka menyimpan jasad seorang tahanan Palestin, seorang jurugambar dan bapa kepada empat anak, yang ditahan pada Disember 2023 dan meninggal dunia sehari kemudian ketika berada di pusat tahanan di lintasan Erez.

Jasad berkenaan dilaporkan tidak menjalani bedah siasat.

Keluarganya mengetahui mengenai perkara itu pada Julai 2025 selepas memfailkan petisyen menerusi kumpulan hak asasi Gisha.

Malah selepas memaklumkan kepada keluarga, kerajaan tidak mendedahkan maklumat mengenai tarikh, lokasi atau keadaan kematiannya, selain asas perundangan bagi menahan jasadnya.

Kerajaan mendakwa lelaki itu adalah ‘anggota operasi ketenteraan Hamas’, namun dakwaan itu dinafikan keluarganya.

Pada Julai, Gisha melaporkan Israel terus menahan jasad lebih 100 rakyat Palestin dari Tebing Barat dan Gaza yang meninggal dunia ketika dalam tahanannya, dengan sekurang-kurangnya 68 daripada mereka merupakan penduduk Gaza.

Kerajaan Israel memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sedang meneliti semula keputusan untuk terus menahan jasad lelaki berkenaan serta rakyat Palestin lain, namun proses itu ditangguhkan susulan perang dengan Iran.

Israel sejak sekian lama mengamalkan dasar mengambil dan menyimpan jasad rakyat Palestin yang terbunuh akibat tindakan tenteranya.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia berulang kali mengecam dasar berkenaan serta menggesa jasad mangsa dikembalikan kepada keluarga mereka.

Undang-undang kemanusiaan antarabangsa menghendaki jasad mangsa yang meninggal dunia diperlakukan dengan penuh maruah.- AGENSI

 

The post Israel simpan 1,700 jenazah Palestin sebagai alat tawar-menawar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved