Israk Mikraj: Rakyat diseru bangkit perbaharui tekad, tingkat martabat - PM

Politics
18 Feb 2023 • 1:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mengenang peristiwa agung Israk dan Mikraj, Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar memperteguhkan akidah dan akhlak terlebih dahulu sebelum tampil dalam memikul kewajiban lebih rumit melibatkan kebajikan rakyat dan negara - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam memperbaharui tekad dan menginsafi ibrah daripada pengalaman Nabi Muhammad SAW melalui  peristiwa Israk dan Mikraj untuk bangkit lebih bertenaga, memulih maruah dan meningkatkan martabat rakyat.

Mengenang peristiwa agung berkenaan, Perdana Menteri juga menyeru umat Islam agar memperteguhkan akidah dan akhlak terlebih dahulu sebelum tampil dalam memikul kewajiban lebih rumit melibatkan kebajikan rakyat dan negara.

Dalam hantaran di Facebooknya, beliau turut menyingkap sedikit sejarah peristiwa luar biasa dilalui Rasulullah pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 kerasulan Baginda.

Anwar berkata peristiwa itu merupakan suatu permusafiran ruhaniyyah yang dihadiahkan Allah SWT kepada Nabi Muhamad SAW tatkala baginda diuji berat dengan pemergian isteri Sayidatina Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.

“Maruah dihina dalam episod getir di Taif hampir menjatuhkan semangat junjungan Baginda, namun ternyata kembali pulih sepulangnya Rasulullah dari Sidratul Muntaha, sambil menggalas amanah baharu untuk membebaskan umat daripada belenggu kejahilan.

“Maka, bermulalah kewajiban solat lima waktu selaku tonggak perhubungan abadi antara hamba dengan Penciptanya,” katanya. - Bernama