
KUANTAN – Dua penyampai Bro Pagi Gegar THR GEGAR, Issey dan Fizie mencipta pengalaman luar biasa apabila membawa siaran radio ke puncak Menara 188 Kuantan, sekali gus menjadikan lokasi ikonik itu sebagai ‘studio’ mereka untuk satu pengalaman bersiaran cukup istimewa.
Lebih mencuri perhatian, kedua-dua penyampai bukan sahaja bersiaran secara langsung dari puncak menara, malah turut mempersembahkan dikir barat pada altitud tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin berkata, aktiviti tersebut membuktikan kreativiti penyampai stesen radio berkenaan dalam membawa kandungan keluar daripada studio, selain mendekatkan pengalaman radio kepada pendengar menerusi pendekatan lebih segar.
“Apa dilakukan Issey dan Fizie hari ini bukan sekadar menawan puncak Menara 188, malah turut membawa THR GEGAR ke satu pengalaman cukup istimewa.
“Mereka bersiaran secara langsung dari puncak menara dan paling menarik, turut mempersembahkan dikir barat pada altitud tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.
Menurut Azah, pencapaian tersebut turut memberi makna tersendiri kepada THR GEGAR, apatah lagi usaha menggabungkan elemen hiburan, budaya tempatan serta siaran radio secara langsung selari dengan identiti stesen berkenaan.
“Ini merupakan satu detik sangat bermakna buat THR GEGAR kerana kami sentiasa mahu mencipta kandungan segar, dekat dengan pendengar dan pada masa sama meraikan identiti serta budaya Pantai Timur.
“Persembahan dikir barat oleh Issey dan Fizie di lokasi setinggi ini menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azah berkata, pihaknya akan terus meneroka idea serta pengalaman baharu bagi memastikan setiap kandungan dibawakan kepada pendengar mempunyai nilai tersendiri, selain meninggalkan kenangan.
“THR GEGAR akan terus mencari idea dan pengalaman baharu untuk dibawakan kepada pendengar.
“Kami mahu setiap aktiviti bukan sahaja menghiburkan, tetapi mempunyai nilai tersendiri serta meninggalkan kenangan kepada pendengar,” tambahnya.
Cabaran berkenaan bukan sekadar menguji kemampuan Issey dan Fizie menawan puncak Menara 188, malah membuka dimensi baharu buat kandungan Bro Pagi Gegar apabila mereka berpeluang bersiaran secara langsung dari lokasi tersebut.
Lebih mencuri tumpuan, kedua-duanya turut menghidupkan suasana dengan persembahan dikir barat di puncak Menara 188, sekali gus menjadikan momen berkenaan antara pengalaman paling unik pernah dibawakan THR GEGAR kepada pendengarnya. – KOSMO! ONLINE.
The post Issey dan Fizie ‘berdikir’ di altitud tertinggi ECER appeared first on Kosmo Online.
