
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap pasangan yang berkahwin tentu mengimpikan rumah tangga dibina kekal bahagia, tetapi ada yang terpaksa akur apabila hubungan yang dibina berakhir dengan perceraian.
Bila sebut sahaja pasal bercerai, pastinya fokus utama yang menjadi perhatian adalah mengenai hak penjagaan anak.
Malah, ada yang beranggapan bahawa isteri yang dilabel sebagai nusyuz (derhaka kepada suami) tidak layak mendapat hak penjagaan anak.
Peguam syarie jelaskan hak jagaan anak tiada kaitan dengan isu nusyuz
Susulan itu, seorang peguam Syarie yang dikenali sebagai Fahmi Ramli telah tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Menerusi perkongsiannya di laman Telegram Nota Syarie by Fahmi Ramli, beliau menjelaskan bahawa hak jagaan anak (hadhanah) tidak mempunyai kaitan dengan isu nusyuz.
“Nusyuz hanya melibatkan nafkah isteri, iaitu bila isteri ingkar arahan suami yang sah dari segi syarak, maka dia boleh hilang hak nafkah,” katanya.
Mahkamah Syariah nilai kepentingan dan kebajikan anak
Menurutnya, Mahkamah Syariah akan menilai melalui kepentingan dan kebajikan kanak-kanak itu sendiri.
Jelas Fahmi, sekiranya ibu kanak-kanak itu masih mampu memberi kasih sayang, keselamatan dan pendidikan yang baik, maka wanita itu tetap boleh diberi hak jagaan meskipun dia pada masa sama disabit nusyuz.
Penjelasan yang diberikan oleh Fahmi itu berdasarkan Enakmen Keluarga Islam negeri-negeri di mana ia jelas menyatakan bahawa kepentingan anak adalah perkara utama, bukannya konflik suami isteri.
Apa itu nusyuz?
Sekadar info, nusyuz dalam konteks perkahwinan Islam merujuk kepada perbuatan ingkar atau tidak taat seorang isteri kepada suami atau si suami tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Antara contoh nusyuz bagi kaum wanita adalah seperti menjauhkan diri dari suami, keluar rumah tanpa izin, tidak mentaati suami, menghalang suami untuk bersama dan hukum kelakuan nusyuz adalah haram serta berdosa besar.
Menurut seorang peguam syarie yang dikenali sebagai Tuan Hafiz Roslan, nusyuz bukan hanya untuk isteri, seorang suami juga boleh dikira nusyuz.
Berikut 5 ciri-ciri suami nusyuz yang lelaki perlu tahu:
- Mengabaikan nafkah
- Suami abaikan isteri
- Suami bersikap zalim
- Suami bawa keburukan kepada keluarga
- Enggan menjalankan tanggungjawab sebagai suami
Baca Artikel Berkaitan: Bukan Hanya Isteri, Peguam Kongsi 5 Ciri-ciri Suami Nusyuz Yang Lelaki Perlu Tahu


![Hari Bahagia Bertukar Duka, Bapa Pengantin Lelaki Meninggal Dunia Ketika Majlis Sanding [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)
![Nampak Biasa Tapi Berisiko Untuk Lelaki! Doktor Kongsi Makanan Yang Boleh Jejas Kualiti Sperma [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/food.jpeg)