'Isteri dahulukan saya dalam setiap doa' - Hantaran romantis Fedtri Yahya sempena ulang tahun perkahwinan ke-15 sentuh hati netizen

LocalFamily & Parenting
28 May 2026 • 1:30 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Isteri dahulukan saya dalam setiap doa' - Hantaran romantis Fedtri Yahya sempena ulang tahun perkahwinan ke-15 sentuh hati netizen

PEJAM celik, rupa-rupanya sudah 15 tahun personaliti TV dan pengacara terkenal, Ahmad Fedtri Yahya melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta, Nurul Anati Ismail. Tarikh 28 Mei menjadi saksi ikatan janji suci mereka yang dibina sejak Mei 2011 kini terus mekar, malah semakin diserikan dengan kehadiran empat orang cahaya mata iaitu Indah Sutera Jannah, Ahmad Willdan Arjuna, Indah Rauvda Inaara dan Ahmad Firaas Mevlana.

Mengenali sosok Fedtri, beliau memang cukup terkenal dengan bait kata yang indah dan menusuk kalbu, maka tidak hairanlah sempena hari istimewa ini, sekeping titipan penghargaan yang penuh bermakna dititipkan khas buat ratu hatinya.

Ucapan yang penuh dengan falsafah cinta dan realiti kehidupan sebuah keluarga itu bukan sahaja menyentuh hati isteri, malah turut membuatkan ribuan netizen tersentuh membaca setiap baris ayat yang dikongsikan menerusi kapsyen gambar mereka sekeluarga.

Dalam coretan yang sarat dengan emosi itu, Fedtri meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga atas segala nikmat yang dikurniakan ALLAH sepanjang membina kebahagiaan bersama. Baginya, melayari alam perkahwinan ini menuntut satu pengorbanan dan penerimaan yang bukan sedikit buat sepasang suami isteri.

Image from: 'Isteri dahulukan saya dalam setiap doa' - Hantaran romantis Fedtri Yahya sempena ulang tahun perkahwinan ke-15 sentuh hati netizen

"Syukur Ya ALLAH atas segala nikmat dan kurniaan dalam membina bahagia bersama isteri dan anak-anak.

"Jatuh cinta memang mudah. Perkara biasa bagi manusia. Namun untuk bangunkan cinta saat jatuh dalam hidup, memerlukan seni kesabaran yang tinggi.

"Hidup tak semuanya indah. Ujian adalah sahabat untuk mendewasakan insan, sekalipun bertalu tanpa pesan dan isyarat," luah penulis lirik itu penuh mendalam.

Bagi Fedtri, kehadiran suri hatinya itu adalah anugerah terindah yang menjadi tonggak utama kekuatan rumah tangga mereka selama ini.

"Syukur ALLAH kurniakan seorang isteri yang sanggup berkorban demi melihat rumah ini terus bercahaya dengan suapan kasih, belaian ikhlas, keringat ujian, tirai sabar dan hamparan setia," kongsinya lagi dengan nada penghargaan yang tidak berbelah bahagi buat si isteri tercinta.

Meniti alam perkahwinan yang semakin matang, komposer terkenal itu juga mengakui ada masanya fasa hidup berputar dengan terlalu laju sehinggakan kesibukan harian adakalanya membawa lelah buat mereka berdua.

"Ada waktu, fasa hidup berputar laju. Anak-anak membesar pantas. Kerjaya sentiasa penuh ritma. Lelah dan lesu.

"Namun, kefahaman itulah yang menjadi jambatan untuk bertahan sekalipun tidak disuarakan. Tiada jalan lain, hanya kesabaran," coretnya yang menyifatkan rasa saling memahami sebagai kunci keharmonian.

Image from: 'Isteri dahulukan saya dalam setiap doa' - Hantaran romantis Fedtri Yahya sempena ulang tahun perkahwinan ke-15 sentuh hati netizen

Apa yang lebih menyentuh hati, Fedtri turut berkongsi rahsia rezeki dan keberkatan keluarga mereka yang datangnya daripada keikhlasan dan doa seorang isteri yang tidak pernah putus.

"Isteri selalu cakap, dia dahulukan saya dalam setiap doanya. Itulah antara asbab ada saja rezeki untuk kami sekeluarga.

"Saat saya berkejar mencari rezeki, ALLAH hadirkan kekuatan untuknya mengalun simfoni rumah tangga dengan pelbagai rentak kerenah anak," ceritanya lagi.

Muka  maintain  muda

Ketika dirinya sibuk mengerah keringat di luar mencari rezeki, Fedtri kagum melihat bagaimana isterinya menguruskan rumah tangga dan melayan anak-anak yang sedang membesar dengan penuh sabar.

Di mata pengacara berkenaan, setiap kekurangan atau 'cacat cela' yang ada di dalam rumah mereka sebenarnya adalah satu keindahan yang perlu disyukuri.

Image from: 'Isteri dahulukan saya dalam setiap doa' - Hantaran romantis Fedtri Yahya sempena ulang tahun perkahwinan ke-15 sentuh hati netizen

"Semua yang ada di rumah sederhana kita, adalah permata. Tumpahan air, koyakan di dinding, susun atur yang tidak selari hiasan… Tak mengapa. Itu tanda rumah kita hidup.

"Bukan muzium sepi yang berteman debu. Semua suara dan riuh di rumah kita adalah bahasa langit untuk kita raikan," kongsi Fedtri lagi.

Perkongsian yang begitu telus dan jujur itu mengundang pelbagai reaksi emosi daripada warga maya yang rata-ratanya kagum dengan cara lelaki berkenaan menghargai isterinya.

Image from: 'Isteri dahulukan saya dalam setiap doa' - Hantaran romantis Fedtri Yahya sempena ulang tahun perkahwinan ke-15 sentuh hati netizen

Ruangan komen dihujani dengan doa-doa yang baik termasuklah yang mendoakan agar perkahwinan mereka kekal sehingga ke syurga.

"Indahnya ucapan.. kalau tak puitis bukan tuan Fedtri lah haha," usik salah seorang netizen, manakala seorang lagi pengikutnya sempat berseloroh memuji wajah pasangan ini dengan komen, "Muka maintain muda."

Kisah inspirasi rumah tangga mereka ini jelas membuktikan bahawa di sebalik perkahwinan yang bahagia, ada toleransi, kesabaran yang tinggi dan doa seorang isteri yang menjadi tiang seri kekuatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved