
JOHOR BAHRU – Hasrat seorang lelaki untuk bergelar bapa tidak kesampaian apabila isterinya yang sedang hamil tiga bulan maut dalam kebakaran rumah di Johor Bahru, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi di Taman Damai Jaya, Skudai, mangsa, Wan Norhairani Wan Norzaini, 21, disahkan meninggal dunia bersama seorang rakan mereka, Mohd Shahrizal Yap, 22, yang menumpang di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu.
Suaminya, Irfan Ibrahim berkata, ketika kebakaran berlaku dia sedang bekerja syif malam di sebuah kilang di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
“Isteri saya tengah mengandung tiga bulan. Kami dah dua tahun kahwin… memang tak sabar tunggu anak pertama.
Dalam jam 6 pagi saya dapat panggilan keluarga beritahu rumah terbakar. Saya terus balik, sampai-sampai api dah padam, bomba dan polis semua dah ada,” katanya sebak ketika ditemui di lokasi.
Menurutnya, mereka sudah setahun menetap di rumah milik keluarga isterinya itu.
“Isteri asal Kuantan. Ini rumah ibu mentua saya.
“Perasaan memang bercampur-baur. Mula-mula gembira nak timang anak, sekali jadi macam ni. Sedih memang sedih, tapi saya reda… mungkin ini takdir,” katanya.
Tambah Irfan, arwah Shahrizal yang berasal dari Sarawak menumpang di situ selepas berhenti kerja kerana tidak mempunyai tempat tinggal.
“Kami bertiga dulu kerja tempat sama. Lepas berhenti, dia duduk sekali dengan kami,” ujarnya.
Jiran dengar bunyi pelik sebelum api marak
Sementara itu, jiran, Taminah Bakir, 61, berkata dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi seperti barang terjatuh sekitar jam 5.20 pagi.
“Saya keluar tengok, api dah marak. Kami panggil jiran lain tolong padam guna paip air, tapi memang tak sempat… api cepat sangat merebak,” katanya.
Menurut laporan Sinar Harian, kebakaran tersebut berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat dan memusnahkan sebahagian besar kediaman berkenaan, sekali gus menyebabkan dua penghuni gagal menyelamatkan diri.
Media itu turut melaporkan pihak bomba bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan sebelum api berjaya dikawal, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Polis sahkan dua maut
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Radin Ramlan Radin Taha, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau memaklumkan dua mangsa terkorban melibatkan seorang wanita berusia 21 tahun dan lelaki berusia 22 tahun yang menyewa bilik di rumah berkenaan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Tragedi awal pagi itu nyata meninggalkan luka mendalam buat Irfan, bukan sahaja kehilangan isteri tercinta, malah impian menimang cahaya mata sulung turut pergi sekelip mata. – The Malaysian Update
The post Isteri Hamil 3 Bulan Maut Kebakaran, Suami Terkilan Tak Sempat Timang Anak Sulung appeared first on The Malaysian Update.

