
ATHENS, 14 JULAI: Isteri kepada seorang penumpang yang cedera parah dalam insiden dramatik membabitkan penerbangan Ryanair dari Greece ke Jerman buat pertama kali menceritakan bagaimana suaminya hampir tercampak keluar dari pesawat selepas sebuah tingkap tercabut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik penyiar awam Greece, ERT.
Lelaki berusia 61 tahun itu masih dirawat di hospital akibat kecederaan fizikal yang serius serta trauma psikologi susulan insiden yang berlaku ketika penerbangan dari Thessaloniki ke bandar Memmingen di Bavaria pada Jumaat, kata isterinya kepada ERT.
"Suami saya duduk betul-betul di sebelah tingkap. Mujur beliau memakai tali pinggang keledar, yang menyelamatkan nyawanya," kata warga Serbia, Svetlana Maximovic dalam temu bual yang disiarkan pada malam Isnin.
Beliau berkata dirinya bersama beberapa penumpang lain berjaya menarik semula suaminya masuk ke dalam pesawat.
Menurutnya, bahagian atas badan suaminya hampir separuh terkeluar dari pesawat, menyebabkan beliau mengalami kecederaan pada leher dan bahu selain melecur akibat geseran. Mangsa kini memakai pendakap leher dan masih mengalami kejutan.
Seorang perunding teknikal penerbangan yang dilantik keluarga mangsa percaya sebahagian daripada komponen enjin pesawat tercabut sebelum menghentam dan memecahkan tingkap berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan penyahmampatan pantas yang menghasilkan daya sedutan kuat sehingga menarik bahagian atas badan mangsa keluar dari pesawat buat seketika, menurut ERT.
Pihak Berkuasa Siasatan Kemalangan Udara dan Rel Greece bersama pakar yang dilantik keluarga mangsa kini sedang memeriksa pesawat berkenaan, menurut penyiar itu.
Pakar penerbangan dan juruterbang Grigoris Konstantelos sebelum ini memberitahu ERT bahawa beliau mengesyaki insiden itu berlaku seperti yang dipercayai.
Katanya, penumpang bernasib baik kerana kejadian itu berlaku sejurus selepas pesawat berlepas.
Jika ia berlaku ketika pesawat berada pada altitud pelayaran, perbezaan tekanan yang jauh lebih besar boleh menyebabkan penyahmampatan secara mendadak yang jauh lebih berbahaya.

