Isteri menangis suami, rakan didakwa curi susu dan coklat

7 Sep 2026 • 2:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Isteri menangis suami, rakan didakwa curi susu dan coklat

MELAKA – Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan termasuk susu formula kanak-kanak, coklat, biskut dan satu karton air susu coklat di sebuah pasar raya, minggu lalu.

Tertuduh, Hamzah Duraman, 37; Muhammad Heirwan Firdaus Huhsaini, 35, dan Muhammad Zulkarnaen Zahari, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduh dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta kepunyaan pasar raya Aeon Ayer Keroh bernilai keseluruhan RM493.88 kira-kira pukul 5.50 petang pada 3 September lalu.

Antara 11 barangan dicuri adalah 10 peket susu Dutch Lady Gum, sepekat coklat Cadbury, empat peket Oreo, satu karton susu coklat, dua peket coklat Hershey’s Kisses, satu peket Kit Kat, satu peket Nestum, sebekas nasi ayam dan nasi goreng daging.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.

Sepanjang pertuduhan itu, beberapa wanita yang turut hadir pada prosiding dipercayai isteri kepada tertuduh dilihat menangis di tempat duduk di galeri awam.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Thiviya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili kesemua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan Muhammad Heirwan perlu menanggung isteri dan tiga orang anak dengan pendapatan harian sebanyak RM50 sebagai buruh.

Tambahnya, Hamzah juga bekerja sebagai buruh dan Muhammad Zulkarnaen seorang penjual burger dengan pendapatan RM80 sehari.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 setiap orang dan menetapkan tarikh 13 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Dalam prosiding berasingan, Muhammad Heirwan dan Muhammad Zulkarnaen turut didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 atas kesalahan memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine masing-masing pada 24 Oktober 2024 dan 25 Mac 2023.

Muhammad Zulkarnaen turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB kerana didapati dalam milikannya dadah berbahaya berat bersih 1.48 gram methamphetamine pada tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku bersalah dan Muhammad Heirwan dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau enam bulan penjara jika gagal bayar serta pengawasan polis selama dua tahun, manakala Muhammad Zulkarnaen dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dari tarikh ditangkap 3 September lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Isteri menangis suami, rakan didakwa curi susu dan coklat appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved