Isteri Rayu Bantu Cari Suami Hilang Di Kamunting, Kali Terakhir Dikesan Berhampiran Lorong Enam

4 Jun 2026 • 8:58 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Isteri Rayu Bantu Cari Suami Hilang Di Kamunting, Kali Terakhir Dikesan Berhampiran Lorong Enam

KUALA LUMPUR – Seorang wanita meluahkan kebimbangan apabila suaminya dilaporkan hilang di Kamunting, Perak sejak malam Rabu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga dan orang ramai yang mengikuti perkembangannya di media sosial.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Threads @theatiqah_, wanita itu memaklumkan suaminya kali terakhir dihubungi sekitar jam 11.27 malam pada 3 Jun sebelum panggilan seterusnya dua minit kemudian tidak lagi dijawab.

Menurutnya, usaha mencari telah dilakukan bersama ahli keluarga selama beberapa jam namun masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan suaminya.

“Saya dan family dah cari dua jam dan masih tak jumpa. Tolong ya, sayang sangat suami saya ni. Saya takut, orang cakap area situ banyak kes samun,” tulisnya.

Kali Terakhir Dikesan Di Lorong Enam Kamunting

Dalam kemas kini seterusnya, wanita itu memaklumkan lokasi terakhir yang dikesan adalah di kawasan Lorong Enam, Kamunting.

Beliau berkata, ahli keluarga termasuk ibu bapa, saudara-mara dan rakan-rakan turut membantu dalam operasi pencarian yang berlanjutan sehingga awal pagi.

Malah, beliau memaklumkan pihak polis telah dimaklumkan mengenai kehilangan tersebut dan beberapa anggota turut membantu usaha mencari walaupun laporan rasmi dikatakan belum dapat dibuat pada ketika itu kerana masalah sistem.

Menurut wanita berkenaan, suaminya berasal dari Tronoh dan berada di Kamunting bagi menguruskan persiapan sambutan ulang tahun perkahwinan pertama mereka yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

“Suami saya baru balik kerja di Lenggong, pergi sana untuk jumpa dengan wedding planner. Dia tak sempat jumpa dah hilang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa suaminya berada dalam keadaan sihat dari segi fizikal dan mental sebelum kejadian berlaku.

Telefon Bimbit Mati Selepas Lokasi Terakhir Dikesan

Wanita itu turut berkongsi tangkap layar aplikasi lokasi yang menunjukkan kedudukan terakhir suaminya berhampiran Lorong Enam, Kamunting dengan baki bateri telefon sekitar 30 peratus.

Bagaimanapun, selepas itu telefon bimbit berkenaan dipercayai telah dimatikan dan tidak lagi dapat dikesan.

Perkongsian tersebut menerima perhatian ramai dengan ribuan pengguna media sosial mendoakan keselamatan lelaki berkenaan selain berharap beliau dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Ditemui Dalam Keadaan Selamat

Perkembangan terkini melegakan ramai pihak apabila lelaki yang dilaporkan hilang itu akhirnya ditemui dalam keadaan selamat.

Menerusi ruangan komen pada hantaran yang dimuat naik oleh The Malaysian Update, seorang pengguna yang mendakwa merupakan saudara kepada lelaki berkenaan memaklumkan bahawa mangsa telah ditemui dan kini berada di balai polis bagi urusan laporan.

“Alhamdulillah… anak saudara saya dah jumpa. Keadaan dia selamat. Sekarang ni di balai polis tengah buat report,” tulis individu tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini punca sebenar kehilangan lelaki berkenaan masih belum didedahkan dan ahli keluarga dikatakan masih menunggu maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut. – The Malaysian Update

The post Isteri Rayu Bantu Cari Suami Hilang Di Kamunting, Kali Terakhir Dikesan Berhampiran Lorong Enam appeared first on The Malaysian Update.