Isteri Tun Daim nekad lawan tuduhan di mahkamah

LocalPolitics
22 Jan 2024 • 11:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Toh Puan Na'imah, Tun Daim

SHAH ALAM - Isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid akan hadir ke mahkamah esok dan berikrar melawan pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Memetik laporan The Star, beliau akan memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik sahaja prosedur perubatan Tun Daim selesai.

"Saya akan berada di mahkamah dan saya akan melawan pertuduhan ini.

"Hakikatnya saya beri jaminan kepada SPRM bahawa saya akan memberikan kenyataan sebaik sahaja prosedur perubatan suami saya selesai pada Selasa," katanya.

Na'imah menambah, beliau turut meminta ia ditangguhkan selama 24 jam.

Difahamkan, dia akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9 pagi untuk didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal mengisytiharkan hartanya.

Pada Disember, SPRM merampas Menara Ilham milik keluarga itu sebagai sebahagian daripada siasatannya.

Menurut SPRM siasatan terhadap Tun Daim adalah berdasarkan undang-undang dan maklumat sedia ada daripada Kertas Pandora.

Pada 10 Januari, Tun Daim dan keluarganya memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman siasatan SPRM terhadap mereka.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.