
Isteri Wan Saiful Wan Jan, Datin Alena Omar Meninggal Dunia
Isteri kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, iaitu Datin Alena Omar dilaporkan telah meninggal dunia hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Mohd Sobri Salleh, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.40 petang tadi.
“Sama-sama kita hadiahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Wan Saiful,” katanya dalam kemas kini di laman Facebook hari ini.
Selain itu, berita sedih ini turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim. “Salam takziah buat sahabat seperjuangan kami Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin atas pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Datin Alena Omar sebentar tadi.
“Saya mendoakan semoga roh Allahyarham tenang dan ditempatkan bersama-sama dengan golongan orang-orang yang beriman,” tulis beliau.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disempurnakan di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya dan disolatkan di Masjid Kariah Sungai Sekamat, Batu 12, Kajang pada jam 5.15 petang ini.
Urusan pengebumian akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Jalan Sungai Sekamat.
Sebelum ini, Wan Saiful, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), memaklumkan bahawa isterinya menghidap kanser usus tahap empat.
Dalam satu video pada 4 Jun lalu, beliau menyatakan bahawa keadaan isterinya ketika itu kritikal kerana kanser telah merebak ke beberapa organ lain.
Jelas beliau, isterinya itu telah lama menghidap kanser usus dan menjalani rawatan kimoterapi sejak tahun 2020.
Sumber: Astro Awani
The post Isteri Wan Saiful Wan Jan, Datin Alena Omar Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.


