Istiadat Angkat Sumpah MB Negeri Sembilan Esok

Politics
13 Aug 2023 • 2:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Datuk Seri Aminudin Harun ketika meraikan kemenangannya di DUN Sikamat pada PRN Negeri Sembilan semalam, bersama-sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. Anthony turut menang di DUN Chennah. - gambar Facebook Anthony Loke

SEREMBAN - Majlis Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan akan diadakan pada pukul 3 petang esok di Istana Sri Menanti, Kuala Pilah, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau bagaimanapun masih berteka-teki mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar nanti.

"Esok baru tahu siapa Menteri Besar," katanya kepada pemberita di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

Katanya beliau telah menghadap Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini pagi tadi bagi memaklumkan situasi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini semalam.

Keputusan PRN negeri ini menyaksikan Kerajaan Perpaduan, gabungan PH dan Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 kerusi, iaitu 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN.

Sementara itu Aminuddin berkata PH negeri ini masih sebulat suara mencadangkan beliau meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

"Pakatan Harapan (PH) masih sebulat suara mencadangkan saya sebagai Menteri Besar, saya rasa itu tak berubah,” katanya menambah keputusan muktamad ditetapkan kepimpinan pusat. - BERNAMA