
KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kerajaan tidak bercadang untuk menggubal satu undang-undang baharu bernama Akta Perpaduan Negara yang khusus bagi menangani isu tersebut termasuk dalam konteks perkembangan media sosial.
“Kerangka perundangan sedia ada mencukupi dan memadai untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan yang melanggar undang-undang berkaitan isu 3R. Sebaliknya, tumpuan perlu diberi kepada penguatkuasaan secara lebih tegas dan berkesan oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa.
“Berhubung media sosial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan pemantauan berkala dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan penguatkuasaan serta permohonan kepada platform media sosial bagi penurunan kandungan yang melanggar undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai langkah memperkukuh kerangka perundangan dan dasar perpaduan negara dalam menangani isu 3R, termasuk cadangan penggubalan Akta Perpaduan Negara yang komprehensif.
Aaron berkata antara perundangan yang boleh digunakan ialah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang berkenaan terletak di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi serta SKMM.
Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memberi tumpuan kepada usaha membina keharmonian masyarakat melalui pendidikan, intervensi komuniti dan pendekatan mediasi, termasuk sistem pemantauan isu perpaduan, rangkaian aduan komuniti serta pusat rujukan bagi isu sensitif masyarakat.
“KPN juga mempunyai 617 mediator yang membantu menyelesaikan konflik secara aman di peringkat komuniti, selain menyediakan pusat mediasi komuniti untuk membuat aduan supaya mereka dapat akses kepada mediasi,” katanya.






