Isu 3R: Polis siasat hantaran Facebook Ryan Azzaro

LocalPolitics
30 Aug 2024 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azli

KUALA TERENGGANU - Polis mengesahkan menerima laporan dan sedang menyiasat berhubung satu hantaran Facebook oleh pemilik akaun Ryan Azzaro yang didakwa menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 3.35 petang pada Khamis.

Menurutnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis telah menerima laporan berhubung hantaran di laman sosial Facebook yang didakwa memperlekehkan simbol agama Islam dan dasar kerajaan negeri Terengganu berkenaan pematuhan syariat khususnya berkaitan aurat dalam sukan.

"Sehubungan itu, permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan segera dibuat bagi mendapatkan pemilik sebenar akaun Facebook tersebut.

"Kita juga akan segera memohon Perintah Untuk Menyiasat (OTI) bagi meneruskan siasatan terhadap suspek," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, setakat ini pihak polis menerima satu laporan berhubung kes tersebut.

Katanya, berdasarkan aduan, hantaran tersebut mengandungi imej dihasilkan menggunakan teknologi AI yang menunjukkan seorang wanita berpurdah sedang melakukan aksi melompat ke dalam kolam renang dengan 'Welcome to Afganu'.

"Hantaran tersebut didakwa berbaur penghinaan terhadap agama Islam dan secara langsung menjejaskan keharmonian masyarakat negara ini.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan isu 3R sebagai satu sentimen politik, gurauan serta usikan," tegas beliau.

Rabu lalu, tular di media sosial sebuah hantaran memaparkan wanita mengenakan burqa iaitu pakaian yang menutup seluruh badan sedang membuat aksi terjunan.

Hantaran itu dipercayai mengaitkan kontroversi penyertaan dua penerjun wanita Muslim yang mewakili Terengganu pada acara Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak yang tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri Terengganu.