Isu air, elektrik selesai dalam 3 tahun

12 Oct 2023 • 4:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KERAJAAN Negeri akan memastikan isu bekalan air dan elektrik yang dihadapi rakyat Sabah dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari sekarang.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif telah diambil untuk meningkatkan kapasiti bekalan kedua-dua keperluan asas ini.

Bagi menangani bekalan air, beliau berkata Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli, yang penaiktarafannya kini berada di peringkat akhir, dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan dan meningkatkan kapasiti bekalan kepada 80 juta liter sehari (MLD).

Ia akan menampung keperluan penduduk di Tuaran dan utara Kota Kinabalu, sekali gus mengurangkan gangguan bekalan air di kedua-dua kawasan.

SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Hajiji berkata ini adalah antara loji rawatan air tambahan yang dibina bagi menangani masalah di Ibu Negeri dan kawasan sekitarnya termasuk sebuah lagi loji rawatan air di Kogopon, Papar.

“Kerajaan Negeri juga sudah mula membina sebuah lagi loji di Kogopon, Papar, bagi menambah bekalan air daripada 40 MLD kepada 80 MLD dengan kos RM380 juta dan dijadualkan siap pada 2026,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman 2023 di Dewan Sri Sulaman, Tuaran, pada 1 Oktober.

Hajiji yakin melalui usaha ini bersama peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM320 juta untuk menyelesaikan masalah air jangka pendek di Sabah, isu itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Mengenai bekalan elektrik, beliau berkata usaha termasuk membina loji janakuasa hidroelektrik dan empangan di Ulu Padas, Tenom. Projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini yang Kerajaan lakukan untuk memastikan rakyat dapat bekalan air dan elektrik yang menjadi masalah sekarang, dan kita akan pastikan kedua-dua isu ini dapat diselesaikan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun dari sekarang.

“Jika diuruskan dengan baik, insya-Allah kita dapat mengatasi dua isu ini yang membimbangkan rakyat ketika ini.

“Kami adalah kerajaan yang bertanggungjawab, dan kerana itu kami membuat perancangan rapi dan memastikan projek pembangunan berjalan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Hajiji, yang merupakan Presiden Gagasan Rakyat, turut melahirkan keyakinan bahawa parti itu dan sekutu komponennya di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mempertahankan empat kerusi Dewan Undangan Negeri di Tuaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Adun Sulaman itu optimis selain kerusinya, kerusi Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu akan kekal di bawah GRS dengan kerjasama parti komponen.

“Di Tuaran, saya jamin Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu masih menjadi milik GRS pada PRN akan datang. Kami bersedia menghadapi sebarang cabaran dan berlawan dengan mana-mana parti yang menentang kami di Tuaran.

“Apa yang penting kerjasama antara kita, jangan ada sabotaj. Jika GRS telah memutuskan calon, maka menjadi tugas kita sebagai Gagasan Rakyat untuk memastikan calon kita menang,” kata Hajiji, yang juga Pengerusi GRS.

Turut hadir Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Masidi Manjun dan pemimpin parti komponen dalam GRS, Pakatan Harapan Sabah dan Gagasan Rakyat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.