Isu alkohol: MOTAC ambil iktibar lepas ditegur PM Anwar, janji tak ulang kesilapan

LocalPolitics
7 Oct 2025 • 4:33 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan mereka mengambil iktibar daripada isu alkohol dalam acara rasmi kerajaan baru-baru ini, selepas ditegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan berjanji kejadian seumpama itu tidak akan berulang.

image is not available

MOTAC ambil iktibar isu alkohol

Dalam kenyataan rasmi hari ini, MOTAC memaklumkan bahawa setiap program di bawah seliaannya akan dipastikan mematuhi garis panduan serta etika yang ditetapkan.

“MOTAC menerima teguran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berhubung penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini.

“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat menyesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.

“Kementerian mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan supaya perkara seumpama itu tidak akan berulang.

“MOTAC juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas nasihat, teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha kementerian dalam memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.

“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali. MOTAC akan terus memperkukuh komunikasi serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya.

image is not available

PM Anwar beri amaran kepada MOTAC dan Tiong isu alkohol

Anwar hari ini memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian itu supaya kesilapan menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas acara rasmi dianggap tidak wajar kerana dasar kerajaan tegas melarangnya sama sekali.

image is not available

Sebelum ini, tular gambar program didakwa Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia yang menyajikan minuman beralkohol.

Namun, King Sing menegaskan pihak industri dan sektor swasta teruja dengan acara global julung kali dianjurkan itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.

Acara selama dua hari setengah itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta melalui inisiatif pihak industri dan sektor swasta.