Isu anjing liar tak pernah habis, jumlah bertambah

18 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Isu anjing liar tak pernah habis, jumlah bertambah

PONTIAN – Kerajaan digesa mengembalikan kebenaran kepada pihak berkuasa untuk me­nembak anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk dan haiwan ternakan.

Presiden Persatuan Penternak Lembu dan Kambing Ne­geri Johor (PPLKNJ), Suzali Saien berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan semula sebagai tindakan terakhir bagi menangani masalah anjing liar yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar diberi kuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap anjing liar.

“Anjing liar bukan sahaja mengganggu manusia, malah adakalanya menyerang dan memakan ternakan seperti lembu, kambing, ayam dan itik.

“Kita bukan mahu bertindak kejam terhadap haiwan, tetapi soal keselamatan orang awam dan ternakan penternak juga perlu diberi keutamaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melapor­kan seorang kanak-kanak pe­rempuan, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, parah selepas diserang lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat pada 5 September lalu.

Mangsa mengalami kecedera­an hampir seluruh badan dan terpaksa ditidurkan selain menjalani beberapa prosedur rawatan serta pembedahan.

Suzali berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap anjing liar ketika ini dilihat belum mencukupi sekiranya tiada tindakan susulan lebih tegas terhadap haiwan yang dikenal pasti mengancam keselamatan.

“Isu anjing liar ini tidak akan selesai dan jumlahnya boleh bertambah dari semasa ke semasa jika tiada tindakan tegas dilakukan.

“Anjing-anjing ini kebanyakannya sudah tidak mempunyai pemilik dan sebelum ini ada yang dipelihara untuk menjaga kawasan tanaman daripada gangguan haiwan seperti monyet,” katanya.

Menurutnya, beberapa kejadian anjing liar menyerang ternakan termasuk kambing dan lembu dilaporkan berlaku di kawasan Kayu Ara Pasong sejak tahun lalu.

Katanya, keadaan itu menim­bulkan kebimbangan dalam ka­langan penternak kerana anjing terbabit masih bebas berkeliaran dan berpotensi menyerang ternakan lain.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang memperjuangkan kebajikan anjing turut tampil mengemukakan penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

“Jangan hanya bercakap bagi pihak haiwan, tetapi turut fikirkan keselamatan manusia dan nasib penternak yang mengalami kerugian akibat serangan anjing liar.

“Pada masa sama, pemilik anjing perlu bertanggungjawab dan memastikan haiwan peliharaan mereka mempunyai lesen serta tidak dibiarkan berkeliaran di luar rumah,” katanya.

Tambahnya, tindakan tegas wajar dikenakan terhadap pemilik yang gagal mematuhi peraturan berkaitan pemeliharaan anjing bagi mengelakkan haiwan berkenaan menjadi ancaman kepada masyarakat.

The post Isu anjing liar tak pernah habis, jumlah bertambah appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved