
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menandatangani satu perintah bagi merombak panduan persekutuan berhubung vaksin kanak-kanak yang berkuat kuasa sejak berdekad lalu di samping mendesak negeri-negeri untuk mengkaji semula syarat wajib vaksin sekolah.
Perintah itu membahagikan vaksin kanak-kanak kepada tiga kategori, mengarahkan agensi-agensi persekutuan untuk memajukan syor baharu berkenaan dan menggesa negeri-negeri mengkaji semula syarat wajib vaksin sekolah.
Perintah yang dinamakan Syor Vaksin Kanak-Kanak Standard Emas itu juga mengejar keutamaan lama presiden iaitu memisahkan vaksin gabungan campak, beguk dan rubella (MMR) kepada tiga suntikan berasingan berikutan kebimbangan mengenai kaitan dengan autisme yang kini telah dibuktikan tidak benar.
Ia menggesa agar semua imunisasi kanak-kanak diberikan dalam sesi lawatan perubatan berasingan sejauh yang mungkin.
Pakar perubatan sejak sekian lama meyakinkan bahawa suntikan tunggal MMR terbukti selamat serta berkesan dan pemisahannya boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko penyakit berbahaya bagi tempoh yang lebih lama.
Perintah itu secara eksplisit mengakui bahawa arahan vaksin pentadbiran sebelum ini telah tertangguh akibat tindakan undang-undang dan mengarahkan agensi-agensi persekutuan memajukan syor baharu tersebut sejauh yang dibenarkan oleh undang-undang.
Bagaimanapun, perintah berkenaan sebahagian besarnya bersifat simbolik.
Negeri-negeri memegang kuasa ke atas syarat wajib vaksin sekolah, bukannya kerajaan persekutuan.
Perubahan pada jadual vaksin persekutuan sekalipun memerlukan proses pembentukan peraturan rasmi melalui Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan jawatankuasa penasihatnya.
Perintah ini hadir ketika kes campak sedang melonjak.
Pihak CDC telah merekodkan 2,465 kes di 47 negeri setakat ini pada 2026 yang sudah pun mengatasi angka tahun lalu dengan 93 peratus berlakunya dalam kalangan individu yang tidak divaksinasi. – AGENSI
The post Isu autisme: Trump arah rombak jadual vaksin kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.
