Isu bekalan air dan elektrik di Sabah. Tindakan sedang diambil: KM

20 May 2023 • 12:07 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri sedang mengambil langkah untuk menangani isu bekalan air dan elektrik yang melanda Sabah ketika ini.

“Air dan elektrik adalah isu warisan yang Kerajaan Negeri sekarang sedang mengambil langkah segera untuk diselesaikan.

“Saya harap rakyat memahami situasi ini dan saya menyeru pihak yang mengkritik supaya tidak mempolitikkan perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

“Pagi ini (Jumaat), saya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar untuk memberi taklimat kepada saya tentang langkah segera dan akan datang yang diambil SESB bagi menangani masalah kekurangan bekalan elektrik yang membebankan ramai orang,” kata Hajiji.

SPONSORED CONTENT Firefly’s inaugural flight to Sandakan SANDAKAN: Firefly, the low-cost carrier subsidiary of Malaysia Airlines; made its inaugural flight from Kota Kinabalu to Sandakan on Tuesday. Read more Mengenai isu bekalan air, Ketua Menteri telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong mengambil tindakan drastik untuk memperbetulkan pentadbiran pengurusan air negeri.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik tetapi juga bergerak ke hadapan untuk mewujudkan pelan kontingensi.

“Kami melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara itu kerana kami juga serius dalam usaha menarik pelabur ke Sabah. “Kedua-dua kemudahan ini penting untuk pelabur.

“Kami telah menarik pelabur berimpak tinggi untuk menempatkan projek mereka di sini seperti SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, Linaco dan Esteel dan kami mahu melihat lebih banyak lagi. Kami serius,” katanya.

“Sabah telah menyediakan pelan tindakan untuk membetulkan isu-isu ini dan dengan jaminan dan komitmen Perdana Menteri untuk membantu Sabah, saya yakin akan ada penyelesaian,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya, Safar dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid. Sementara itu di PENAMPANG, Shahelmey berkata Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah membekalkan 11 unit jentera elektrik mudah alih yang berkapasiti 4.5 megawatt (MW) bagi menampung keperluan pengguna di Sabah yang agak tinggi ketika ini.

Beliau berkata usaha itu merupakan langkah jangka masa pendek SESB bagi mengatasi gangguan bekalan elektrik yang berlaku di negeri itu.

“Berdasarkan taklimat dengan SESB sebentar tadi, difahamkan catuan bekalan elektrik akan dilakukan sehingga Julai ini, dan saya berpesan kepada pengguna agar dapat bersabar,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat oleh SESB di Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (LDC) di sini, Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata catuan itu bertujuan memastikan bekalan kuasa elektrik berada dalam keadaan terkawal bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dalam sistem teknikal grid sistem SESB.

Katanya 17 lagi jentera mudah alih yang mampu membekalkan elektrik berkapasiti 8.5mv akan ditambah untuk diagihkan kepada pengguna bulan depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata permintaan penggunaan tenaga elektrik ketika ini mencapai tahap maksimum sebanyak 1,080MW berbanding hanya 1,032MW pada Ogos tahun lepas, yang berpunca daripada keadaan cuaca panas, selain beberapa stesen janakuasa yang tidak dapat beroperasi kerana memerlukan masa untuk dibaik pulih.

“Sebelum ini kalau pada waktu malam, penggunaan elektrik antara 800 hingga 900 mv tetapi selepas Hari Raya ia naik kepada 1,040. Perbezaan (penggunaan elektrik) waktu tengah hari antara pukul 2 petang dan malam hampir sama,” katanya.

Mohd Yaakob berkata gangguan bekalan elektrik pada Selasa lepas di beberapa tempat di negeri ini bukan disebabkan catuan ataupun sebarang sabotaj, tetapi berpunca daripada berlakunya letupan pada suis talian bervoltan tinggi SESB di Karambunai.

Gangguan elektrik pada Rabu pula berpunca daripada kerosakan kabel bawah tanah, dan SESB sedang mengenal pasti kawasan kabel berkenaan; iaitu antara Jalan Meruntum sehingga ke Jambatan Sipanggil di Putatan.

Berikutan gangguan bekalan elektrik itu, ribuan pengguna sekitar Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang terpaksa bergelap termasuk beberapa fasiliti awam seperti Hospital Queen Elizabeth dan Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu sejak pukul 6 petang, dan pulih sepenuhnya pada pukul 10.06 malam. Mohd Yaakob berkata jadual catuan atau gangguan bekalan elektrik akan dikongsikan melalui laman sosial Facebook SESB, penghantaran mesej ke telefon bimbit pengguna dan melalui aplikasi Whatsapp pejabat daerah masing-masing.

“Sehingga Jun tahun depan, SESB mampu membekalkan 166MW dengan penambahan tenaga elektrik secara berperingkat,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.