Isu beras: Penguatkuasaan perlu kerap, pantas – CFOS

22 Sep 2023 • 3:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KUNAK: Kekurangan bekalan dan kenaikan harga beras di daerah ini memerlukan perhatian serius daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan kerap dan pantas.

Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani berkata, persatuan itu telah menerima banyak aduan daripada penduduk Kunak berhubung kesukaran mereka untuk mendapatkan bekalan atau membeli beras putih import atau tempatan di pasaran di sini.

“Selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan, pengguna di daerah ini juga mengalami kenaikan harga di mana label harga asal ditutup dengan menggunakan pelekat.

“Dikhuatiri sesetengah peniaga membuat pembungkusan semula,” katanya, yang juga Ahli Majlis Consumer Forum of Malaysia (CFM), kepada Daily Express, Selasa lalu.

SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Beliau berkata, selain itu wujud kelewatan penguatkuasaan KPDN dalam menangani berlaku isu dan aduan pengguna di Kunak, sekali gus merumitkan lagi masalah itu.

Nordin menjelaskan, ini disebabkan Kunak belum mempunyai cawangan KPDN di daerah itu, kerana ketika ini operasi penguatkuasaan dijalankan oleh kakitangan KPDN Semporna.

“Masalah mungkin timbul apabila pegawai penguatkuasa daripada agensi berkaitan mengambil masa untuk sampai ke Pekan Kunak.

“Ini tentunya memudahkan peniaga mengambil kesempatan dari kelewatan itu untuk menutup kesalahan mereka sebelum pegawai penguat kuasa tiba di Kunak,” jelasnya.

Berkenaan isu telur ayam, Nordin berkata terdapat juga peniaga membuat jualan dengan mengenakan syarat atau “memaksa” pengguna membeli telur jenis Omega sebelum boleh mendapatkan satu tray telur ayam biasa gred A atau B.

Nordin berkata, isu sama berlaku apabila pengguna di sini hendak membeli beras putih tempatan atau import, di mana mereka dikenakan syarat perlu membeli satu tray telur ayam jenis Omega sebelum membeli beras putih 5kg atau 10kg.

“CFOS memohon agar KPDN melantik pegawai daripada agensi kerajaan yang lain sebagai wakil KPDN di Kunak untuk bertindak sebagai ‘pegawai penguatkuasa’, jika kekangan bajet menyebabkan pembukaan cawangan di situ (Kunak) tidak dapat dilaksanakan. Begitu juga di daerah lain seperti Kota Marudu,” katanya.

Beliau menambah, ia masih amat wajar untuk kerajaan mewujudkan cawangan KPDN di daerah ini, dan tidak hanya bergantung kepada KPDN Semporna, kerana terdapat pertambahan jumlah premis perniagaan dan pasar raya di Kunak.

Dalam perkembangan lain, Nordin berkata CFOS juga berharap Jabatan Pertanian Sabah serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengadakan satu program khusus untuk mendidik pengguna mengenai perbezaan antara beras putih tempatan dan beras putih import.

Katanya, ia supaya pengguna dapat membezakannya dan mengelak daripada terpedaya atau tertipu oleh peniaga yang ingin mengambil kesempatan semasa kekurangan beras.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.