Isu Berucap Dalam Masjid, JAIS Jalankan Siasatan Terhadap Fahmi Fadzil

1 Aug 2023 • 10:47 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sebelum ini, kami ada melaporkan berhubung hantaran yang tular di Facebook mendakwa Menteri Komunikasi dan Digital iaitu Fahmi Fadzil melakukan ceramah berkaitan kempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Masjid Nuril Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.

Menerusi hantaran berkenaan, individu tersebut turut berkongsi gambar memaparkan menteri tersebut sedang memegang mikrofon di hadapan jemaah lain.

Walau bagaimanapun, Fahmi telah tampil menjelaskan bahawa kehadirannya di masjid berkenaan adalah untuk menunaikan solat Zohor selain dijemput oleh pihak kariah untuk mengulas berhubung isu The 1975.

Malah beliau turut berterima kasih kepada Syafiq Naqman yang menjadi saksi kejadian apabila memuat naik video penerangan ketika berucap untuk menyangkal fitnah berkenaan.

JAIS sahkan terima aduan berhubung Fahmi Fadzil

Susulan daripada kejadian itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan pihaknya telah menerima aduan berhubung perkara itu dan memaklumkan siasatan lanjut akan dibuat.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memberitahu siasatan dilakukan di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

“JAIS telah menjalankan siasatan dengan memanggil nazir masjid itu bagi mendapatkan keterangan dan tindakan selanjutnya akan dibuat setelah siasatan selesai dilakukan,” ujarnya, dipetik Sinar Harian.

Nasihat agar calon dan parti terlibat untuk berhati-hati dan jangan lakukan perkara melanggar titah Sultan Selangor

Oleh itu, JAIS dalam masa sama turut menegaskan bahawa kesemua yang tercalon mahupun parti yang terlibat perlu berhati-hati apabila berada di kawasan masjid mahupun surau.

Perkara ini adalah untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang hal yang melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta peraturan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Selain itu tindakan tegas turut akan diambil sekiranya terdapat pihak yang melanggar titah Sultan Selangor serta MAIS.

Via: