Isu BlackRock: Umno harap penjualan saham MAHB tak diteruskan, kata Mat Hasan

Politics
23 Jun 2024 • 6:56 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Umno berharap Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak meneruskan usaha penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun keputusan itu dibuat tanpa melalui Kabinet namun beliau berharap keputusan itu dapat dikaji semula.

“Kita menteri-menteri Umno memberikan pandangan jika boleh perkara ini (penswastaan kepada syarikat pro-Israel) tidak diteruskan.

“Tapi dia punya transaction (urusan) itu sudah terlampau advanced, jadi kita tengoklah macam mana (tapi).. kira harap (tidak diteruskan).

“(Cuma) kita tak tahu sama ada ia diteruskan atau pun tidak (keputusan) bukan di kalangan kita, sebab Khazanah di bawah Kementerian Kewangan (MoF) dan MoF perlu melihat baik dan buruk serta apa sahaja impaknya,” katanya.

image is not available
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini berkata, penjualan 30% saham itu amat bertentangan dengan pendirian Malaysia selama ini yang mendokong perjuangan Palestin. - Gambar FB Akmal Saleh, 23 Jun, 2024

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jasin di Melaka hari ini.

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebelum ini membuat kenyataan menggesa keputusan itu dibawa kepada Jemaah Menteri kerana yakin menteri-menteri daripada Umno akan membantah cadangan itu.

Menurut Khairy lagi, tindakan Khazanah menjual 30% pegangan saham kepada konsortium itu menentang dasar kerajaan yang selama ini memperjuangkan soal kemanusiaan Palestin. - 23 Jun, 2024