
KOTA BHARU: Isu penetapan kekerapan operasi perjudian ketika pentadbiran terdahulu tidak pernah dibawa ke jemaah menteri.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu adalah bidang kuasa kementerian berkenaan ketika Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menjadi Menteri Kewangan.
“Saya ingat saya tidak dibawa ke… tidak ada Kertas Kabinet, tidak ada Memorandum Jemaah Menteri. Diputuskan memang bidang kuasa dialah di Kementerian Kewangan,” katanya selepas majlis perasmian Muktamar Pas Kali-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran terdahulu adalah tanggungjawab bersama jemaah menteri, termasuk menteri daripada Pas ketika itu.
Tengku Zafrul Aziz yang kini Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri berkata cabutan khas bukan perkara baharu, sebaliknya telah diperkenalkan sejak 1999, malah had siling 22 cabutan setahun sudah wujud ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Takiyuddin berkata, perkara berkenaan tidak diketahui menteri-menteri lain kerana tiada Kertas Kabinet atau Memorandum Jemaah Menteri dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.
Katanya, teguran hanya dibuat selepas keputusan berhubung kekerapan operasi perjudian itu diketahui.
“Minta Tengku Zafrul confirm (sahkan). Dia Menteri Kewangan, kami menteri lain. Dan bila tak dibawa ke Kabinet, kami tidak ada maklumat. Bila dah keluar berapa-berapa kali itu, barulah kami buat teguran dan benda itu dah diputuskan,” ujarnya. – UTUSAN
The post Isu cabutan judi: Takiyuddin dakwa Tengku Zafrul tidak bawa ke Kabinet appeared first on Utusan Malaysia.




