Isu ‘curang tanpa niat’ dalam sektor awam cetus bimbang

LocalPolitics
4 Sep 2025 • 1:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib membangkitkan kebimbangan mengenai isu curang tanpa niat yang semakin mendapat perhatian dalam sektor awam, menegaskan ia perlu dibendung dengan segera.

“Walaupun ia bukan jenayah rasuah secara langsung, perbuatan tersebut tetap mencemarkan imej perkhidmatan awam, mewujudkan salah laku tatakelakuan, serta membawa implikasi undang-undang. Ia juga boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Oleh itu, sistem tadbir urus yang sistematik dan polisi jelas amat penting bagi memastikan keadilan serta konsistensi dalam tindakan terhadap penjawat awam,” jelas beliau.

James, yang juga Adun Sugut, berkata demikian ketika merasmikan Program Varsha Integriti yang diadakan di sini pada Selasa.

Program Varsha Integriti anjuran Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah melalui Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS). Ia bermatlamat memperkukuh tadbir urus, menanam nilai integriti serta memperkasakan budaya antirasuah dalam kalangan penjawat awam.

Menurut James, program ini membuktikan komitmen Ketua Menteri untuk memastikan integriti bukan sekadar slogan, tetapi satu budaya kerja yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua warga perkhidmatan awam.

“Rakyat bukan hanya mahu menerima perkhidmatan, tetapi mereka mahu merasakan perkhidmatan itu disampaikan secara jujur, telus, adil dan berkesan.

“Justeru, integriti adalah asas kepada kecekapan pentadbiran serta kunci utama membina keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Tema program “Menetapkan Sempadan” menekankan kepentingan garis panduan dalam setiap aspek pentadbiran.

Program itu menetapkan empat objektif utama, iaitu: Memantapkan pengetahuan serta amalan nilai integriti dalam kehidupan seharian; Melahirkan warga kerja yang berpegang pada nilai murni dan menghindari perbuatan menyalahi undang-undang; Meningkatkan kecekapan tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kementerian; dan Meningkatkan kesedaran warga kerja KPMKR serta agensi berkaitan tentang isu, cabaran dan usaha membanteras salah laku berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah.

Dalam pada itu, James menegaskan bahawa program kesedaran seperti Varsha Integriti perlu diperluas supaya aspek moral, integriti, kesihatan mental dan profesionalisme dapat diperkasa dalam kalangan penjawat awam.

“Sesungguhnya, sikap kebertanggungjawaban seorang penjawat awam adalah cerminan integriti sesebuah pentadbiran kerajaan. Dengan integriti tinggi, pentadbiran akan lebih berkesan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” jelas beliau.