Isu dana zakat: NGO desak Mohamad direhatkan daripada semua jawatan

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 1:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Chegubard (tiga dari kanan) melancarkan sebuah booklet yang mengandungi 14 mukasurat mengenai pendedahan berhubung isu berkenaan untuk rujukan umum melalui kod QR di Komtar pada Rabu.

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid digesa agar direhatkan daripada semua jawatan susulan dakwaan salah guna kuasa dan isu tatakelola melibatkan dana zakat yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Desakan itu dibuat oleh sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam satu sidang media di Tingkat 1, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini pada Rabu.

Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, desakan itu dibuat bagi memastikan siasatan yang dijalankan dilakukan secara telus tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk pemimpin negara.

Menurutnya, ia juga bertujuan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi agama Islam.

“Kita mahu beliau direhatkan daripada semua jawatannya sehingga siasatan yang dijalankan selesai. Ini kerana terdapat kepincangan serius dalam pengurusan institusi Islam dan Melayu di negeri ini.

“Isu tersebut bukan sekadar melibatkan pembelian tanah, malah didakwa memberi kesan kepada agihan bantuan zakat termasuk pembayaran bantuan tertentu yang lewat disalurkan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar Mohamad tampil menjawab atas kapasiti sebagai TKM I bagi membersihkan imej institusi agama.

“Apabila pendedahan ini timbul, ia sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan umat Islam terhadap pengurusan Majlis Agama Islam negeri.

“Sekiranya beliau tidak bersalah, beliau tidak perlu berasa takut. Tampilkan diri dan jawab semua persoalan yang timbul untuk membersihkan imej institusi agama yang beliau terajui.

“Fokus kita adalah kemungkinan berlaku salah guna kuasa serta persoalan tatacara dan tatakelola dalam pengurusan dana zakat yang mana beliau juga merupakan Exco Hal Ehwal Agama, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Pengerusi Zakat. Jadi beliau perlu bertanggungjawab menjawab semua persoalan ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Chegubard juga mempersoalkan status siasatan oleh SPRM dan berharap tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat sebarang salah laku.

Beliau menegaskan sekiranya tiada tindakan diambil, ia akan menimbulkan persepsi negatif serta menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi berkaitan.

Sementara itu, Chegubard dan beberapa aktivis Peta turut melancarkan sebuah buku kecil yang mengandungi 14 muka surat mengenai pendedahan berhubung isu berkenaan untuk rujukan umum melalui kod QR.

Katanya, semua dokumen dan pendedahan terdahulu yang dibuat sejak laporan dikemukakan di Putrajaya telah dihimpunkan dalam buku kecil berkenaan untuk tatapan umum.

Mereka juga ingin menyerahkan buku kecil tersebut kepada Mohamad, namun gagal apabila tiada wakil daripada Pejabat TKM I hadir untuk menerimanya.

Sebelum ini, Mohamad hadir ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang selama dua hari bermula Isnin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana zakat yang dikaitkan dengannya.

SPRM dalam kenyataannya berkata seramai 63 individu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa berkenaan.

Kesemua individu berkenaan dipanggil secara berperingkat untuk dirakam keterangan susulan pembukaan kertas siasatan pada pertengahan Januari lalu.

Antara yang dipanggil termasuk ahli Majlis Agama Islam Negeri, mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan, penasihat undang-undang serta pegawai dan kakitangan Majlis Agama Islam Negeri.

Selain itu, ahli Lembaga Zakat serta pegawai dan kakitangan zakat negeri turut dipanggil bagi membantu siasatan.

View Original Article